Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mangsa sesak nafas Pasir Gudang minta rawatan susulan, bantuan


Tarikh kemaskini: 25/06/2019





JOHOR BAHRU, 25 Jun (Bernama) -- Penduduk Tanjung Puteri Resort, yang turut terkesan ekoran pencemaran terbaharu di Pasir Gudang, dekat sini, meminta agar Kerajaan Negeri memberi rawatan susulan terutama kepada para pelajar yang terlibat dalam insiden sesak nafas dan muntah.

Wakil penduduknya, Jamaluddin Abdul Malik, 41, berkata rawatan susulan itu penting bagi memastikan mangsa bebas daripada sebarang implikasi akibat pencemaran udara itu.

Sebelum ini beliau dan keluarga yang terlibat ketika insiden pencemaran di Sungai Kim Kim juga tidak mendapat sebarang rawatan susulan.

“Sebelum ini, kami (penduduk Tanjung Resort) yang menjadi mangsa pembuangan sisa kimia Sungai Kim Kim tidak mendapat sebarang rawatan susulan.

“Tidak semua mangsa yang pergi ke hospital adalah orang yang berkemampuan dan mempunyai kenderaan.

“Jadi saya harap Kerajaan Negeri membela mangsa yang terlibat dengan rawatan susulan dan bantuan dari segi kos mahupun pengangkutan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut bapa kepada tujuh orang anak itu, anak perempuannya Nursyadira Balqis,13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort, turut mengalami sesak nafas dan mual-mual dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail sejak semalam.

“Sebelum ini, saya sekeluarga turut dikuarantin semasa pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim,  bila pencemaran udara terjadi, anak keempat saya (Nursyadira Balqis) sekali lagi menjadi mangsa.

“Anak saya juga mengadu kejang-kejang dan sakit pinggang semenjak pencemaran kimia dan sakitnya itu masih dirasai sehingga kini,” katanya.

Jamaluddin juga menjelaskan bahawa penduduk sekitar terutama di Tanjung Puteri Resort berhasrat untuk berpindah namun berharap Kerajaan Negeri segera menyelesaikan masalah pencemaran udara berkenaan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel