Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kemalangan maut di Gerik: Ketiga-tiga mangsa sahabat karib


Tarikh kemaskini: 25/06/2019





KOTA BHARU, 25 Jun (Bernama) -- Tiga yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah MyVi dengan sebuah bas persiaran di Jalan Gerik-Baling, petang semalam merupakan sahabat karib sejak dibangku sekolah rendah.

Abang kepada salah seorang mangsa, Mohamad Syafiq Ahmad Kamil, 28, berkata adiknya, Mohamad Syahidi, 24, berkawan rapat dengan dua lagi mangsa, Khairul Amirin Tengku Kamarudin dan Mohamad Shazlimie Mohd Rosli.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka yang sebaya, amat rapat dan bersekolah rendah bersama di Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail Petra dan kemudiannya di Sekolah Menengah (SM) Putera.

Beliau berkata kejadian itu amat mengejutkan kerana arwah adalah antara orang yang boleh diharapkan untuk memandu kenderaan khususnya bagi perjalanan jarak jauh.

"Sebelum dia bertolak ke Perlis, arwah baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur bersama bapa.

"Memang kami tidak menjangkakan kemalangan ini meragut nyawanya apatah lagi bersama dua rakan karibnya sejak kecil," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang, Perodua MyVi yang dinaiki mangsa dikatakan bertembung dengan sebuah bas persiaran menyebabkan ketiga-tiga mereka maut di tempat kejadian.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan dari Pulau Pinang melalui Baling menuju ke Kota Bharu manakala bas persiaran dari arah Gerik menuju ke Pulau Pinang.

Sementara itu, seorang lagi penumpang kenderaan itu, Mohd Shahrin Rasid, 23, parah dan menerima rawatan di Hospital Gerik.

Mohamad Syafiq berkata adiknya bersama rakan lain sebenarnya bergerak ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis, untuk menukar kereta dengan adik bongsunya, Mohamad Syarif, 19, dan merancang untuk "makan angin" di Pulau Pinang.

Katanya, beliau mengetahui kejadian yang menimpa adiknya itu selepas menerima panggilan telefon daripada bapanya, Ahmad Kamil Sa'ud, 62, yang menerima khabar buruk itu daripada pihak polis.

“Keluarga kini menuntut jenazah yang dijangka dibawa pulang untuk dikebumikan hari ini.

"Arwah adalah anak kelima daripada enam adik beradik yang sedang cuti semester dan berada di Tahun Dua dalam pengajian Diploma Geomatik di Politeknik Merlimau, Melaka," katanya.

Jenazah adiknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Chat, di sini, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel