Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lapor berita benar, jangan mengadu domba, jaga sensitiviti, kata Undang Luak Jelebu kepada media


Tarikh kemaskini: 25/06/2019





KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad berkata pengamal media di negara ini hendaklah menitikberatkan laporan berita benar, tidak mengadu domba dan menjaga sensitiviti.

Maarof berkata laporan tidak benar termasuk separuh benar atau luar konteks yang mengapi-apikan hubungan antara kaum dan agama adalah jenayah mengikut undang-undang negara.

“Kesedaran ini wajib dihayati dalam industri kewartawanan selain daripada mendukung etika pemberitaan tatkala melakukan tugas masing-masing,” katanya semasa berucap sempena lawatan kerja beliau ke Media Prima di sini hari ini.

Maarof mengingatkan pengamal media agar berpegang teguh pada agama, undang-undang negara serta etika kewartawanan dalam menjalankan tugas, selaras dengan peranan media sebagai penyampai maklumat, mendidik, memujuk dan menghibur.

"Laporan media mestilah benar dan tepat supaya boleh dijadikan rujukan berkredibiliti. Sekiranya laporan tidak tepat, palsu, separuh benar, berat sebelah, keluar dari konteks pemberitaan dan mengelirukan, ia akan menjadi wacana sia-sia tanpa subtance untuk dijadikan hujah,” katanya.

Maarof turut menegaskan bahawa pengamal media mesti mempunyai pengetahuan mantap mengenai undang-undang ketika menyiarkan laporan berita bagi melancarkan setiap tugasan.

“Lebih-lebih lagi apabila sesuatu pemberitaan itu membabitkan raja-raja dan pembesar-pembesar memerintah bagi Negeri Sembilan. Wartawan, jurugambar, editor dan ketua pengarang harus celik undang-undang yang berkaitan sebelum menyiarkan sesuatu berita,” katanya.

Melahirkan penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa menyalurkan maklumat terkini, tepat dan benar kepada rakyat Malaysia, Undang Luak Jelebu itu berkata media adalah sumber berpengaruh besar ke arah mewujudkan negara berdaya maju dan melahirkan masyarakat bermaklumat.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel