Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Inkues Adib: Empat peguam dari AGC dilantik wakili KPKT, Bomba


Tarikh kemaskini: 26/06/2019





SHAH ALAM, 26 Jun (Bernama) -- Empat peguam dari Jabatan Peguam Negara dilantik mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggantikan peguam Syazlin Mansor dalam inkues menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Mereka ialah tiga Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan; Mazlifah Ayob dan Fadzilatul Isma Ahmad Refngah serta Peguam Persekutuan Afiq Zainal Abidin.

Sementara Syazlin yang sebelum ini menarik diri daripada mewakili KPKT dan JBPM kembali menjadi pihak berkepentingan dalam inkues itu apabila mewakili keluarga Muhammad Adib.

Dalam prosiding sebutan hari ini, Koroner Rofiah Mohamad menetapkan 3, 4 dan 5 Julai untuk memanggil semula saksi ke-29 inkues iaitu Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bagi memberi keterangan.

Terdahulu pegawai pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa satu pihak berkepentingan dalam inkues telah mengemukakan cadangan nama pakar fizik yang akan memberi keterangan berhubung kiraan formula daya hentaman berhubung kecederaan dialami Muhammad Adib.

Sementara bagi pihaknya, Faten Hadni memohon masa untuk mengemukakan cadangan nama kepada mahkamah kerana masih mencari pakar fizik yang sesuai. 

Rofiah memberi masa kepada Faten Hadni untuk mengemukakan senarai nama pakar fizik kepada mahkamah antara 3 dan 5 Julai ini.

"Saya akan pilih dan putuskan pakar fizik antara tempoh sama (3 dan 5 Julai) dan tetapkan 16 dan 17 Julai untuk pakar fizik tersebut beri keterangan. Kita nak muktamadkan isu ‘correction formula’ daripada seorang yang pakar dalam bidang ini.

"Ia lebih sesuai untuk pakar fizik itu hadir beri keterangan di mahkamah memandangkan inkues ini menjadi perhatian umum," katanya.

Abang sulung Muhammad Adib, Mohd Asraf, 31, turut hadir pada prosiding inkues hari ini.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut Jantung Negara.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel