Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Indonesia ketengah budaya, sejarah Melayu sebagai tarikan pelancongan


Tarikh kemaskini: 26/06/2019





MELAKA, 26 Jun (Bernama) -- Republik Indonesia sedang giat memperkenalkan budaya dan sejarah  Melayu terutamanya di kawasan Sumatera negara itu sebagai salah satu produk bagi tarikan sektor pelancongan.

Asisten Deputi Pengembangan Pemasaran I Regional II, Kementerian Pariwisata Republik Indonesia, Adella Raung berkata ia mampu menjadi daya penarik kepada kehadiran pelancong, terutamanya dari kalangan rakyat negara serumpun seperti Malaysia dan Brunei. 

"Apabila kita bawa misi pariwisata (pelancongan) ke Malaysia, selalunya itu hubungan B2B atau ‘business to business’, tetapi kita biasa (mahu) eratkan hubungan Malaysia-Indonesia melalui P2P iaitu ‘people to people’ kerana kita ini bersaudara dan Malaysia ini dekat sekali dengan kami di Indonesia.

"Kami mengangkat untuk pasaran di Malaysia itu pasaran budaya, kerana ia lebih mapan seperti saudara kita di Negeri Sembilan, Malaysia (contohnya) mereka boleh ke Bukit Tinggi, Sumatera, yang memiliki budaya hampir sama, bagaikan mereka pulang ke kampung mereka sendiri.

"Jadi itu ada potensi besar (pelancongan) terutama di Sumatera untuk pariwisata itu (kerana) budaya dan sejarah Melayu itu dekat dengan (rakyat) Malaysia," katanya kepada Bernama pada sesi ‘Indonesia Sales Mission’ ke Melaka di sini, baru-baru ini.

Adella berkata kementeriannya menyasarkan kedatangan tiga juta pelancong Malaysia untuk berkunjung ke Indonesia tahun ini, selaras dengan kempen pelancongan Wonderful Indonesia.

Ditanya mengenai kawasan dan tarikan pelancongan budaya serta sejarah Melayu yang menarik di negara itu, beliau berkata kawasan Riau-Lingga merupakan salah satu lokasi pelancongan menarik yang bertema Melayu.

"Di sana ada terkaitan raja-raja zaman dahulu kerajaan Melayu Riau-Lingga, ternyata budaya Melayu itu Malaysia juga terkait dengan budaya itu terutama di Tanjungpinang di Riau-Lingga itu. Kalau terfikir kita memang bersaudara.

"Kita juga bawa ke Malaysia (wakil) daripada Pulau Penyengat itu (pulau di kawasan Riau-Lingga) bagi menceritakan sejarah kerajaan Melayu zaman dahulu itu yang terpisah akibat sejarah dahulu namun sehingga kita Malaysia dan Indonesia itu bersaudara," katanya.

Beliau berkata generasi muda Malaysia merupakan antara sasaran utama pelancongan berasaskan budaya dan sejarah Melayu, kerana kebanyakkan mereka mahu melihat sendiri perkembangan serta sejarah Melayu di negara lain terutamanya Indonesia.

Katanya itu adalah faktor penting bagi memperlihatkan sejarah dan budaya kepada generasi muda bagi membentuk jati diri yang kukuh dalam diri mereka seterunya menjadi generasi penerus hubungan saudara erat Malaysia-Indonesia.

Sementara itu menurut risalah pelancongan bertajuk 'Jelajah Pesona Tanjungpinang' yang diberikan Adella kepada Bernama, pelancongan memain peranan dalam memperkenal budaya Melayu di Tanjungpinang dengan kesenian dan budaya dipengaruhi ajaran Islam seperti Gurindam 12, Tari Zapin, Tari Makyong, Muzik Ghazal dan Tari Dankong. 

Tempat ibadat juga menjadi tarikan di kawasan itu antaranya Masjid Raya Sultan Riau di Pulau Penyengat yang menggunakan putih telur sebagai bahan binaannya, Masjid Raya Al-hikmah, Masjid Raya Dompak, Gereja Bethel GPIB dan Klenteng Bahtra Sasana, selain makanan laut yang enak.

Tanjungpinang juga memiliki bekas istana Kerajaan Melayu Riau-Johor iaitu Istana Kota Raja dan Tanjungpinang menempatkan makam Yang Dipertua Muda (Raja) Riau I Daeng Marewah, makam Yang Dipertua Muda (Raja) Riau II Daeng Celak dan Yang Dipertua Muda (Raja) Riau III Daeng Kemboja.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel