Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tanah runtuh Tanjung Bungah: Kerajaan negeri mahu siasatan terperinci


Tarikh kemaskini: 26/06/2019





GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang hari ini meminta pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan yang terlibat untuk melakukan siasatan terperinci terhadap kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah yang meragut empat nyawa pekerja warga asing semalam.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah menerima laporan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tentang kejadian yang berlaku di tanah persendirian di lot 74 dan lot 98 di kawasan Tanjung Bungah.

Menurutnya, laporan awal mendapati pemilik tanah di kawasan berkenaan telah melakukan aktiviti pembinaan tembok penahan baharu menggantikan tembok penahan sedia ada yang telah rosak tanpa kebenaran MBPP.

"Kerajaan negeri berharap MBPP, JKR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang akan melakukan siasatan terperinci tentang kejadian yang berlaku sebelum mengambil tindakan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di sini, beliau berkata kerja-kerja pembinaan tembok penahan yang dilakukan oleh pemilik tanah adalah tanpa melibatkan pakar kejuruteraan dengan hanya menggaji empat pekerja asing.

"Cara kerja-kerja itu telah menyebabkan pergerakan tanah walaupun tidak hujan tetapi cukup untuk mengakibatkan tanah-tanah dikawasan berkenaan runtuh," katanya.

Berikutan kejadian itu, Chow yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Padang Kota telah mengarahkan JKR untuk mengkaji bahagian atas dan bawah lereng di sepanjang Jalan Batu Ferringhi bagi memastikan keselamatan dan integriti jalan raya sepanjang kira-kira 15 kilometer itu.

"Jalan Batu Ferringhi adalah jalan yang amat sibuk dan penting untuk pergerakan lalu lintas, jadi kajian itu adalah untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin. Hasil kajian itu akan mengemukakan syor mitigasi supaya langkah-langkah lanjut dapat dijalankan," katanya.

Beliau turut difahamkan satu notis pemberhentian kerja tanah mengikut Seksyen 70 (A) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 akan dikemukakan dari MBPP kepada pemilik tanah berkenaan.

Sementara itu, Pengarah JKR Pulau Pinang Shahabuddin Mohd Muhayidin berkata kejadian tanah runtuh di Jalan Batu Ferringhi dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah dan ketidakstabilan cerun akibat kerja pengorekan bagi pembinaan tembok penahan dijalankan pemilik tanah.

Katanya, pihak JKR akan menjalankan kerja-kerja menstabilkan cerun dikawasan berkenaan dan tindakan kawalan untuk memastikan tiada hakisan yang lain akan berlaku.

"Pada masa kerja-kerja mitigasi cerun dilakukan, Jalan Batu Ferringhi sepanjang 50 meter akan ditutup satu lorong, antara tiga hingga empat minggu, bagi mengawal dan mengelak pergerakan tanah," katanya.

Kejadian tanah runtuh semalam berhampiran sebuah pusat peranginan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang dilaporkan pada pukul 9.45 malam Selasa itu mengorbankan empat rakyat Myanmar.

Kesemua lelaki Myanmar itu dilaporkan digaji pemilik pusat peranginan berkenaan untuk membaiki tembok penahan di kawasan itu susulan pergerakan tanah sejak seminggu lepas.

Kesemua mereka tertimbus dalam runtuhan tanah itu dan operasi mencari dan menyelamat berakhir pada pukul 4.35 pagi ini selepas mayat terakhir dibawa keluar dari runtuhan itu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel