Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KIFT Kuala Kedah mampu lonjak industri perikanan laut dalam


Tarikh kemaskini: 26/06/2019





ALOR SETAR, 26 Jun (Bernama) -- Pembinaan Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di utara muara Kuala Kedah bakal menyediakan pelbagai kemudahan penangkapan ikan laut dalam sekaligus menjadi pemangkin kepada industri perikanan negara dari Lautan Hindi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata KIFT yang membabitkan kos kira-kira RM1 bilion nanti bakal menjadi pusat pendaratan ikan tuna dari Lautan Hindi yang akan diproses sebelum dieksport semula ke China melalui Qingdao yang akan memberi impak ekonomi kepada Kedah.

Katanya, syarikat swasta, Lu Hai Feng Ltd yang berpangkalan di Qingdao, China menyatakan komitmen untuk membantu membangunkan KIFT menerusi penyediaan teknologi penangkapan ikan, perkapalan, kemudahan untuk menangkap ikan tuna serta tidak menjejaskan nelayan tempatan.

“Ketika ini sudah ada enam buah kapal sudah berlabuh di Pulau Langkawi dan lesen sementara juga sudah dikeluarkan di mana kita jangkakan pada bulan depan kerja menangkap ikan tuna di Lautan Hindi akan bermula.

“Namun kapal-kapal itu  berlabuh di situ sehingga kita dapat bina terminal di Kuala Kedah. Projek ini akan memberikan kita mempelajari teknik-teknik tangkapan ikan laut dalam, pemprosesan, pemotongan, pembersihan dan pembekuan ikan.

“Syarikat Lu Hai Feng Ltd yang berpengkalan di Qingdao itu juga turut memiliki kepakaran membekukan ikan sehingga negatif 60 darjah Celcius bagi memastikan kesegaran hasil laut terpelihara sebelum dieksport semula ke China,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Menteri Besar Incorporated (MBI Kedah) dan Lu Hai Feng Ltd di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Pegawai Eksekutif MBI Kedah, Dr Mahadi Mohamad dan Naib Presiden Qingdao Luhaifeng Foods Group Co, Liu Jisheng.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata terdapat perbezaan berbanding MoU yang ditandatangani sebelum ini sewaktu menjadi Menteri Besar sebelum ini dimana ia melibatkan projek di Kuala Tebengau.

“Agak berbeza kerana ia lebih pragmatik dan pelaburan yang sedikit, tetapi ia lebih baik daripada buat projek besar yang memerlukan pelaburan awal lebih tinggi dan pembinaan KIFT dilaksanakan secara berfasa dan menepati aliran tunai yang boleh dijana,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel