Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jambatan kedua Tanjung Lumpur siap Ogos ini


Tarikh kemaskini: 27/06/2019





KUANTAN, 27 Jun (Bernama) -- Jambatan kedua Tanjung Lumpur di sini, yang merentasi Sungai Kuantan dengan kos pembinaan RM161.43 juta dijadualkan siap mengikut perancangan pada Ogos ini. 

Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata jambatan sepanjang 451 meter itu kini mencapai proses kemajuan fizikal sebenar sebanyak 81 peratus, dengan hanya tinggal kerja kemasan untuk dilaksanakan. 

"Jambatan kedua itu apabila siap kelak akan mengurangkan kesesakan di jambatan asal Tanjung Lumpur terutamanya pada waktu puncak kerana merupakan satu-satunya laluan dari Tanjung Lumpur, Kempadang dan Bandar Putra untuk ke pusat bandar. 

Pembinaan jambatan baharu dijangka dapat mengurangkan tempoh masa 35 minit yang dihadapi penduduk buat masa kini kepada hanya 10 minit dari Bandar Putra ke pusat bandar," katanya. 

Mohd Anuar berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang di Kompleks Tun Razak (KOMTUR) di sini hari ini, yang akan disusuli dengan tinjauan ke tapak jambatan kedua Tanjung Lumpur. 

Berdasarkan rekod, majlis pecah tanah pembinaan jambatan baharu itu dirasmikan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang kini adalah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 1 Nov 2016 dengan jangkaan siap dalam tempoh tiga tahun. 

Projek pembinaan jambatan baharu itu bermula daripada persimpangan Jalan Pintasan Bukit Setongkol dan Jalan Tanah Putih, di sini melalui Jalan Sri Kemunting 2 seterusnya merentasi Sungai Kuantan dan berakhir di Jalan Tanjung Lumpur. 

Pada perkembangan lain, Mohd Anuar memaklumkan projek menaik taraf Jalan Gambang-Segamat yang menjadi laluan utama Pantai Timur ke Johor, Negeri Sembilan dan Melaka yang menelan belanja RM427.6 juta kini telah 88 peratus dilaksanakan dengan jangkaan siap pada hujung tahun ini. 

Pada lawatan kerja ke Pahang, Mohd Anuar juga meluangkan masa menziarah keluarga pembantu jurutera JKR Johor, Khairul Anuar Ariffin, 38, di Felda Bukit Goh di sini, yang meninggal dunia dalam perjalanan ke tapak projek pada Isnin lepas. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel