Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabtu, Ahad hari tanpa beg plastik di Pahang mulai bulan depan


Tarikh kemaskini: 27/06/2019




KUANTAN, 27 Jun (Bernama) -- Pahang akan melaksanakan hari tanpa beg plastik pada setiap Sabtu dan Ahad di semua premis perniagaan mulai bulan depan. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata selain beg plastik, larangan itu juga melibatkan penyedut minuman plastik dan bekas makanan polisterin. 

Sebagai permulaan, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan kesedaran kepada pemilik premis perniagaan tentang kepentingan mematuhi peraturan itu. 

"Selepas tempoh tertentu, kerajaan negeri sedia bertindak lebih tegas dengan mengenakan kompaun kepada mereka (pemilik premis) yang ingkar dengan saranan berkenaan.

"Bagaimanapun, kita belum memutuskan berapa lama tempoh percubaan sebelum mula mengenakan kompaun. Kerajaan negeri berharap semua premis turut bersama kami menjayakan kempen ini," katanya. 

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abdul Rahim Muda dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Datuk Hamdan Hussin.

Langkah ke arah sifar penggunaan plastik itu juga, menurut Wan Rosdy, adalah salah satu usaha kerajaan negeri membantu menjaga alam sekitar dan mengelakkan pencemaran yang berpunca daripada penggunaan plastik tidak terkawal. 

"Seperti semua pihak sedia maklum, produk plastik ini mengambil masa antara 400 hingga 1,000 tahun sebelum terurai secara semula jadi yang secara tidak langsung memberi kesan buruk jangka panjang untuk alam sekitar. 

"Saya harap kempen ini  sebagai permulaan kepada kita dan pemilik premis di Pahang untuk turut sama mengambil bahagian dalam memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang," katanya. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel