Sektor pelabuhan Sabah miliki potensi bersaing dengan Singapura, Filipina
Tarikh kemaskini: 27/06/2019
KOTA KINABALU, 27 Jun (Bernama) -- Sektor pelabuhan di Sabah mempunyai potensi untuk bersaing dengan Singapura dan Filipina menerusi pelaksanaan dasar yang tepat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata ini juga berdasarkan lokasi Sabah yang strategik dan berhampiran dengan beberapa negara seperti China, Jepun dan Hong Kong.
Kelebihan yang dimiliki Sabah itu mendorong kerajaan negeri untuk menempatkan Sabah sebagai sebuah negeri dinamik dan membangun di Malaysia termasuk menyediakan prasarana pelabuhan yang lengkap, katanya dalam ucapan pada Majlis Kaamatan Raya anjuran Suria Group di Wisma Sabah Ports, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Suria Group Tan Sri Ibrahim Menudin dan Pengarah Urusan Kumpulan Suria Group Ng Kiat Min.
Mohd Shafie turut menegaskan kepentingan untuk menambah baik logistik sektor pelabuhan di Sabah termasuk membina landasan kereta api bagi menghubungkan kesemua pelabuhan di negeri ini.
Katanya langkah itu untuk mengurangkan kebergantungan kepada lori kontena dan lori tangki sekali gus memudahkan penghantaran barangan eksport ke setiap pelabuhan tanpa perlu melalui jalan raya yang sibuk dan sesak terutama di Sepanggar.
Mengambil contoh Kuala Lumpur, Mohd Shafie berkata Pelabuhan Klang mempunyai perkhidmatan kereta api yang menghubungkan setiap hentian penghantaran barangan.
“Saya telah menyampaikan hasrat kerajaan negeri ini kepada kerajaan Persekutuan kerana Sepanggar adalah kawasan yang amat sibuk dan prasarana pelabuhan lengkap perlu disediakan di sini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony berkata pembinaan landasan kereta api sepanjang 175 kilometer yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Kudat adalah tepat dan mampu direalisasikan untuk memenuhi keperluan rakyat di Pantai Barat dan Pantai Utara Sabah.
-- BERNAMA
|