Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sarawak sedia RM30 juta bangunkan pusat reka bentuk bagi meningkatkan industri perkayuan


Tarikh kemaskini: 27/06/2019





KUCHING, 27 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Sarawak memperuntukkan RM30 juta untuk membangunkan Pusat Reka Bentuk Sarawak (Saradec) bagi membolehkan industri perkayuan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri itu meningkatkan eksport perabot dan produk bernilai tambah tinggi ke peringkat global.

Ketua Menterinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata berikutan kemerosoton log pengeluaran daripada hutan asli, industri perkayuan sedang menuju ke arah penggunaan lebih banyak bahan mentah alternatif daripada penanaman hutan. 

“Industri perkayuan perlu melaksanakan proses melengkapkan kilang dan operasi kayu-kayan mereka dengan peralatan baharu dan proses kejuruteraan semula.

“Ini adalah sejajar dengan perubahan ke atas jenis bahan mentah yang ada pada masa akan datang seperti kayu-kayan daripada penanaman hutan yang mempunyai ciri-ciri fizikal berbeza daripada hutan asli,” katanya berucap pada Ekspo Perkayuan dan PKS Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli.

Abang Johari berkata transformasi industri perkayuan itu mampu dicapai menerusi sokongan terhadap penggiat industri ke arah pelaksanaan rangka kerja struktur industri mampan yang bersesuaian serta inisiatif pembangunan dan penyelidikan yang agresif ke arah menghasilkan produk bernilai tinggi.

“Pengeluar perabot dan penggiat industri yang berkaitan di negeri ini perlu memanfaatkan sepenuhnya perubahan dan meneroka pelbagai teknologi sedia ada, kepakaran, insentif dan bahan baharu bagi meningkatkan reka bentuk dan kualiti untuk tujuan eksport.

“Kerajaan akan terus menyokong dan mempromosi pembangunan industri perabot di negeri ini bagi menjadikan ia kompetitif di pasaran global. Sehubungan itu, mereka (penggiat industri) digesa bergerak ke depan sejajar dengan usaha kerajaan untuk membangunkan industri perabot ke arah mencapai kedudukan global menjelang 2030,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel