QR7EEWggytA Tangani segera kes pembuangan bayi - Dr Wan Azizah
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tangani segera kes pembuangan bayi - Dr Wan Azizah


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





SEPANG, 28 Jun (Bernama) -- Kes pembuangan bayi merupakan satu isu serius dan harus ditangani segera, dengan kehamilan luar nikah dan kehamilan remaja merupakan antara punca berlakunya kejadian itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut statistik polis, 577 kes pembuangan bayi direkodkan dalam tempoh empat tahun sehingga tahun lepas (2018), katanya.

Ketika melancarkan kempen mencegah pembuangan bayi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini hari ini, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menasihatkan remaja atau wanita yang terlanjur supaya tidak melakukan tindakan yang boleh membahayakan nyawa mereka dan bayi yang dikandung.

"Kami memfokuskan kepada keselamatan, kesihatan dan kebajikan kedua-dua bayi dan ibunya," katanya. 

Beliau berkata mereka boleh menghubungi talian Kasih 15999 bagi mendapatkan pertolongan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mempunyai kaunselor bertauliah dalam mengendalikan kes sebegitu termasuk membantu dan memberi pelindungan kepada mereka.

Beliau berkata KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan Rumah Perlindungan kepada kanak-kanak dan wanita yang hamil luar nikah.

Dr Wan Azizah berkata pihaknya juga kini bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan pemetaan lokaliti dan campur tangan strategik bagi kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas kes pembuangan bayi.

Mengenai kempen yang dilancarkan, Dr Wan Azizah berkata inisiatif bersama PLUS itu akan menyaksikan pelekat dan poster kesedaran termasuk nombor Talian Kasih diletak dan ditampal di lokasi strategik termasuk di pintu tandas di semua 22 R&R di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  Hannah Yeoh yang turut hadir pada pelancaran itu berkata inisiatif tersebut merupakan pendekatan baharu kementerian dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat selepas mengambil kira jumlah 1.6 juta pengguna lebuh raya yang menggunakan R&R setiap hari.

Beliau berkata pihaknya merancang mengembangkan inisiatif itu melalui perkhidmatan yang menjadi tumpuan ramai seperti di transit aliran ringan (LRT) serta lapangan terbang.

Menurut Yeoh, untuk tempoh Januari hingga Mei lepas, 65 kes pembuangan bayi direkodkan dengan Johor mencatat kes tertinggi iaitu 13 diikuti Selangor 11 dan Kuala Lumpur tujuh.

Menurutnya, kawasan perumahan yang merekodkan 226 kes pembuangan bayi menjadi kawasan tertinggi bagi kes pembuangan bayi untuk tempoh 2010 hingga 2018 diikuti tandas dan tempat pembuangan sampah dengan masing-masing 108 dan 89 kes.

"Dalam kes seperti ini, hanya 30 peratus daripada bayi yang dijumpai masih hidup," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel