Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penggiat industri pembinaan perlu pelajari teknologi baharu BIM


Tarikh kemaskini: 28/06/2019




SEREMBAN, 28 Jun (Bernama) -- Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun meminta semua pihak yang terlibat dalam industri pembinaan supaya mempelajari teknologi baharu 'Building Information Modelling' (BIM).

Menurut beliau, teknologi BIM ini mampu mengurangkan kos setiap projek pembinaan di samping  memberi satu keputusan pembinaan yang lebih tepat seperti yang diharapkan oleh klien.

“BIM adalah teknologi yang baharu dan semua penggiat industri pembinaan perlu pelajari. Teknologi sentiasa berubah dan kita kena bergerak ke hadapan. Suka atau tidak, teknologi BIM ini memang diperlukan pada masa hadapan dan semua penggiat industri pembinaan perlu ada kepakaran bagi memastikan kita mampu membuat yang terbaik.

“Yang penting ialah kita tahu kos setiap projek itu… jadi, kita dapat mengawal kos. Saya rasa pada masa hadapan, kalau ini dapat dilaksanakan di seluruh jabatan, kita pun boleh mengawal kos pembinaan di seluruh negeri dan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan MyBIM Satelit Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah dan rumah terbuka Aidilfitri Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Razali Ab Malik, Pengurus Besar Kanan (Sektor Pembangunan Teknologi) CIDB Datuk Ir. Elias Ismail, Pengarah CIDB Negeri Sembilan Azhar Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi ABM Wilayah Tengah Dolkipli Saian.

Mengulas lanjut, beliau berkata dengan BIM ini kontraktor utama boleh melihat kemajuan projek daripada telefon bimbit mereka.

"Ini kerana apabila kita telah membuat kerja-kerja (pembinaan), kita boleh 'menuntut' kerja kita daripada kontraktor utama dengan lebih cepat… tidak perlu lagi datang ke tapak untuk mendapatkan kelulusan.

"Saya juga yakin Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melatih jurutera dan pegawai teknikal mereka dan ini akan meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan pegawai JKR dalam bidang pembinaan pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Ir. Elias berkata BIM adalah satu model digital 3D sesuatu bangunan atau struktur yang mengandungi pelbagai maklumat geometri dan parameter yang dihasilkan melalui beberapa perisian.

Model BIM boleh digunakan untuk melihat kitaran hidup sesebuah struktur yang akan dibina daripada peringkat perancangan sehinggalah penyelenggaraannya apabila siap kelak.

Melalui BIM, kuantiti dan kualiti bahan dapat ditentu sah dan skop kerja semua pihak yang terlibat dengan projek pembinaan itu dapat dibahagikan dan dipantau dengan mudah.

"Program Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 melihat penggunaan BIM di dalam projek pembinaan sebagai antara inisiatif penting untuk meningkatkan kadar produktiviti sektor pembinaan secara keseluruhannya dan bagi mencapai matlamat itu, teknologi BIM haruslah diterima pakai oleh kebanyakan penggiat industri pembinaan.

"Kajian yang telah dilaksanakan oleh CIDB, National Building Information Modelling Report 2016, menunjukkan kadar penggunaan BIM di Malaysia masih rendah iaitu 17 peratus, sedangkan jumlah projek pembinaan yang menggunakan BIM di negara kita kini kian bertambah," katanya.

Justeru, katanya usaha giat perlu dilakukan bagi mempersiapkan semua penggiat industri di setiap tahap dan peringkat termasuk pelajar, kontraktor, agensi kerajaan dan swasta diberikan pendedahan dan pengetahuan mengenai BIM.

Mengenai MyBIM Satelit ABM Wilayah Tengah, beliau berkata ia diadakan bertujuan menyokong peranan ABM dalam menyediakan latihan BIM kepada penggiat industri di samping menyokong fungsi MyBIM Centre dalam memberikan perkhidmatan penggunaan peralatan BIM melalui sewaan harian khususnya bagi penggiat industri di kawasan Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Penubuhan MyBIM Centre dan beberapa rangkaian MyBIM Satelit ini akan memberi peluang kepada lebih ramai lagi penggiat industri terutama daripada syarikat kecil dan sederhana untuk memanfaatkan BIM di dalam projek pembinaan mereka.

"Ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti industri pembinaan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel