Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jawatankuasa fokus usaha tangani penjualan vape kepada pelajar sekolah


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





PUTRAJAYA, 28 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa khas berkaitan isu kawalan pengunaan vape dan rokok elektronik (e-cigarette) antara lain akan memberi fokus kepada usaha menangani penjualan alat tersebut kepada pelajar sekolah, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata masih banyak promosi penjualan vape dan rokok elektronik dibuat dalam talian untuk menarik pelajar meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk menutup laman web berkenaan.

"Trend mereka yang menjual vape dan rokok elektronik kepada kanak-kanak sekolah membimbangkan.

"Justeru kita gunakan 'task force' seperti ini kaji bagaimana kawal penggunaan alat-alat itu dalam kalangan mereka yang berumur bawah 18 tahun khususnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 81 warga Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas untuk merumus kaedah kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape, yang diketuai timbalannya Dr Lee.

Dr Lee berkata jawatankuasa itu akan memulakan tugasnya secepat mungkin dan merangka rang undang-undang baharu untuk mengawal penggunaan vape dan rokok elektronik yang dijangka dibentangkan akhir tahun ini ataupun tahun hadapan.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata menurut kajian Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia pada 1 April hingga 17 April 2019 melibatkan 173 tempat makan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, kebanyakan masyarakat didapati sudah tidak merokok di kawasan yang diwartakan.

"Bilangan perokok yang mendaftar untuk berhenti merokok di laman web jomquit.moh.gov.my meningkat kepada 580 orang bermula Januari hingga April 2019, berbanding purata 428 orang bagi tahun-tahun sebelumnya," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel