Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peruntukan RM4.31 bilion bagi 631 projek persekutuan di Sarawak


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





KUCHING, 28 Jun (Bernama) -- Sejumlah 631 projek persekutuan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 di Sarawak dengan peruntukan RM4.31 bilion sehingga 23 Jun lepas, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Baru, yang juga pengerusi bersama Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNG) sebagai wakil dari kerajaan persekutuan berkata, prestasi perbelanjaan semasa mencatatkan RM711 juta atau 16.50 peratus berbanding prestasi perbelanjaan nasional yang mencatatkan RM23.31 bilion atau 42.51 peratus daripada keseluruhannya. 

“Kerjasama dan koordinasi antara agensi kerajaan negeri atau persekutuan, khususnya yang berkaitan dengan utiliti dan kelulusan kerja-kerja di tapak perlu meningkatkan lagi aspek pemantauan agar dapat disiapkan sebagaimana dirancang,” katanya selepas mempengerusikan MTNG bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang mewakili kerajaan Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata dari segi prestasi fizikal, terdapat enam projek lewat jadual/sakit, iaitu pembinaan hospital baharu Sri Aman bernilai RM176.27 juta, pos dan kuarters imigresen Ba’kelalan (RM14.98 juta) dan jalan akses ke Empangan Baleh (RM1.419 bilion), gentian bilik darjah dan lain lain kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong, Miri (RM23.14 juta).

Projek sakit yang lain melibatkan cadangan pembinaan pusat interpretasi Heart Of Borneo (HOB) serta cadangan membina dan menyiapkan sekolah baharu SMK Tudan, Miri (RM48.27 juta).  

Bagaimanapun, sebanyak 442 projek berstatus ikut jadual, 69 projek sudah siap, lapan projek dalam perancangan, 102 projek mendahului jadual manakala empat projek berstatus simpan perhatian, katanya.

Mengenai mesyuarat MTNG hari ini, beliau berkata ia berperanan penting bagi memastikan pelaksanaan dasar, program/projek kerajaan persekutuan, khususnya di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) dan inisiatif semasa kerajaan dapat diselaraskan dan dipantau secara efisien dan holistik dengan kerjasama kerajaan Sarawak.

“Komitmen kedua-dua pihak mempengerusikan mesyuarat bersejarah ini membuktikan kerjasama yang erat dan kesungguhan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam memastikan agenda pembangunan di Sarawak diambil perhatian tinggi oleh semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata beliau bersetuju dengan Baru bahawa projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan tidak sepatutnya dipolitikkan oleh sesetengah pihak.

“Apa yang paling penting ialah kedua-duanya komited untuk melihat Sarawak menerima seberapa banyak peruntukan projek, kerana kita ketinggalan dalam beberapa sektor dan berharap perkara ini dapat ditangani pada masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel