Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ini mungkin pelukan, ciuman terakhir saya - banduan Penjara Penor


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





KUANTAN, 28 Jun (Bernama) -- "Ini mungkin ciuman dan pelukan terakhir saya… entah ada rezeki lagi atau tidak untuk saya mencium tangan emak dan ayah di masa depan." 

Itu luahan Pak Sodok, 49, banduan Penjara Penor di sini, yang dilihat tidak berenggang daripada sisi orang tuanya yang berusia 75 dan 78 tahun pada program Jalinan Kasih hari ini. 

Dia yang menjalani hukuman penjara 30 tahun kerana kesalahan merogol berkata ia merupakan pelukan dan ciuman pertamanya sejak menjalani hukuman pada tahun 2012. 

"Warden beritahu, saya terpilih menjadi sebahagian daripada peserta program dua hari lalu dan sejak itu, saya tidak senang duduk kerana sering menghitung waktu. Saya mahu hari ini segera menjelma.  

"Saya gembira tapi dalam masa sama sedih juga kerana menyusahkan orang tua yang uzur melalui perjalanan jauh dari Batu Rakit, Terengganu untuk ke sini," katanya semasa ditemui Bernama pada program itu. 

Pak Sodok yang mendapat gelaran itu kerana bekerja sebagai pemandu jentera berat sebelum dihukum mengakui gembira kerana masih dapat merasai 'pengalaman berhari raya' termasuk berpeluang memakai baju Melayu berwarna hijau epal. 

Katanya, hatinya mula terusik melihat tiga abang dan kakaknya turut serta dalam program itu, namun air matanya mulai gugur apabila ternampak kelibat dua anaknya yang berusia sembilan dan 12 tahun. 

Bagi Dey, 33, yang menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana kesalahan dadah mengakui dirinya seperti tidak percaya apabila melihat kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang lincah dan enggan duduk diam itu adalah anaknya. 

"Saya kehilangan kata-kata bila anak panggil abah. Itu kali pertama saya dengar kerana dia hanya berusia 100 hari semasa saya ditangkap...sebak kerana dia mengenali saya mungkin disebabkan bekas isteri sering menunjukkan gambar. 

"Saya hilang peluang untuk melihat anak membesar. Abang-abangnya juga sudah besar...sudah berusia 11 dan tujuh tahun, begitu berbeza daripada semasa kali terakhir saya boleh memegang mereka," katanya. 

Dey berharap masyarakat di luar dapat mengambil pengajaran daripada kisahnya supaya berfikir panjang dalam apa jua tindakan supaya tidak terjebak dalam kesalahan yang akhirnya merugikan diri. 

Sementara itu, Pengarah Penjara Panor Datuk Abu Hassan Hussain berkata seramai 24 banduan daripada 2,254 penghuni penjara itu terpilih pada program itu, berdasarkan tingkah laku dan disiplin yang baik. 

"Kita berharap mereka mengambil peluang ini untuk merapatkan kembali hubungan silaturahim sesama keluarga dan mungkin berbincang mengenai perancangan masa depan untuk mereka yang berpeluang dibebaskan. 

"Banduan amat memerlukan sokongan keluarga apabila mereka dibebaskan untuk memulakan kehidupan baru," katanya. 

Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Inisiatif Bandar Selamat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Seri Johny Ch'ng Ewe Gee. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel