Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

100 pemilik perniagaan, usahawan Sabah sertai Forum Tingkatkan Kesedaran Pasaran Modal


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





KOTA KINABALU, 28 Jun (Bernama) -- Lebih 100 pemilik perniagaan dan usahawan di Sabah hari ini menyertai Forum Invest Borneo yang julung kalinya dianjurkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi badan sekutunya Capital Market Malaysia, di sini.

Timbalan Ketua Eksekutif SC Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin berkata forum separuh hari itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah mengenai peluang pengumpulan modal dan pelaburan dalam pasaran modal Malaysia bagi membiayai dan mengembangkan potensi perniagaan.

Beliau berkata forum itu merupakan platform untuk memberi pemahaman kepada komuniti perniagaan di negeri ini bagaimana perniagaan di Malaysia memperoleh manfaat daripada penyelesaian pembiayaan pasaran modal merangkumi tawaran awam awal dan bon sehingga pembiayaan alternatif berasaskan pasaran iaitu pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P).

"Satu daripada keutamaan SC adalah mengembangkan pasaran modal yang lebih inklusif dan mampan. Kami juga berhasrat mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi, dan apa yang kami ingin bawakan ke Sabah adalah kesedaran bahawa produk perbankan bukan satu-satunya jalan penyelesaian.

“Sebaliknya produk pasaran modal yang boleh diakses oleh syarikat. Ini merupakan motivasi untuk berada di Sabah dan kami berpendapat Sabah mempunyai pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

“Kami menghargai bahawa kebanyakan perniagaan di Sabah berpotensi untuk dikembangkan bukan sahaja di negeri ini, malah di luar negara. Jadi, kami mahu meningkatkan kesedaran apakah pasaran modal boleh lakukan daripada perspektif penjanaan dana serta pelaburan,” katanya kepada pemberita di luar forum berkenaan.

Zainal Izlan berkata forum itu diadakan sebagai acara sampingan program pendidikan pelaburan SC iaitu 'Bersama InvestSmart @ Borneo Sabah' yang julung kali diadakan di Sabah bertujuan menggalakkan celik kewangan dan pelaburan serta meningkatkan pemerkasaan pelabur dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata program itu akan diadakan di sebuah pusat membeli belah di sini, esok.

Sementara itu, dalam siaran akhbar yang diedarkan pada majlis itu, agenda pembangunan SC pada tahun ini antara lain memberi tumpuan memperluas akses kepada pembiayaan untuk PMKS selain suruhanjaya itu akan terus menyokong usaha pendigitalan bagi memenuhi keperluan pembiayaan PMKS dan menarik minat pelabur generasi baharu.

Platform ECF dan pembiayaan P2P telah membantu lebih 900 perusahaan kecil dan sederhana yang secara kolektif telah mengumpulkan hampir RM350 juta untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam tempoh tiga tahun lepas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel