Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Pulau Pinang masih tanggung tunggakan cukai RM65 juta


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





GEORGE TOWN, 28 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Pulau Pinang masih menanggung tunggakan cukai-cukai tanah dan petak berjumlah RM65 juta sehingga kini dan akan menjalankan tindakan penyitaan sekiranya cukai-cukai itu terus tidak dibayar.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini berkata pihak berkuasa terbabit termasuk Pejabat Daerah dan Tanah telah diarah menghantar peringatan kepada pemilik-pemilik terlibat untuk menyelesaikan tunggakan cukai mereka sebelum langkah undang-undang yang lebih tegas dikenakan.

“Saya ingin mengingatkan pemilik tanah dan petak di Pulau Pinang untuk melangsaikan tunggakan cukai lama (untuk tanah dan petak) secepat mungkin kerana mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan 'forfeiture' ke atas tanah atau petak milik mereka,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Beliau berkata 224,303 orang pemilik kediaman berstrata di Pulau Pinang dijangka menerima bil cukai petak mereka untuk tahun ini yang akan diedar mulai Julai ini dan mereka terdiri dari kalangan yang menduduki 1,796 buah skim perumahan berstrata di Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri bersetuju untuk melanjutkan tempoh pembayaran cukai itu sehingga 31 Dis ini tanpa mengenakan sebarang caj lewat pembayaran,” katanya sambil menjelaskan cukai petak dikenakan bagi menggantikan cukai tanah yang sedia ada bagi bangunan strata yang memiliki hak milik strata.

Sementara itu, Chow turut mengingatkan pemilik tanah persendirian di Pulau Pinang supaya tidak melakukan kerja-kerja melibatkan penggalian atau pengalihan tanah tanpa mengemukakan permohonan mereka kepada pihak berwajib terlebih dahulu.

Menurutnya walaupun pemilik tanah persendirian mempunyai hak untuk melakukan apa sahaja terhadap hartanah mereka, namun perancangan mereka itu tidak boleh bercanggah dengan undang-undang yang sedia ada.

“Pemilik tanah mempunyai hak untuk berbuat apa sahaja dalam kawasan tanah mereka, tapi bagi kerja-kerja mengorek atau mengalih tanah, anda perlu membuat permohonan tertentu berserta dengan rancangannya. Anda perlu mematuhi undang-undang sedia ada sebelum memajukan tanah anda,” katanya.

Katanya isu ini timbul berikutan kejadian tembok penahan tanah runtuh di Tanjung Bungah dekat sini baru-baru ini yang mengorbankan nyawa empat orang pekerja warga Myanmar.

Menurutnya pemilik tanah itu masih perlu mendapatkan kebenaran dari pihak berkuasa tempatan sebelum menjalankan kerja-kerja berkenaan, biarpun dilakukan di atas tanah milik persendirian.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel