Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada surcaj elektrik dikenakan kepada pengguna bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis 2019


Tarikh kemaskini: 28/06/2019




PUTRAJAYA, 28 Jun (Bernama) -- Tiada surcaj elektrik dikenakan kepada pengguna domestik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2019.

Suruhanjaya Tenaga menerusi kenyataannya hari ini berkata kerajaan bersetuju mengekalkan kadar semasa surcaj tarif elektrik di Semenanjung Malaysia sebanyak 2.55 sen/kilowatt-jam (kWj) untuk pengguna bukan domestik khususnya pengguna komersil, industri dan lain-lain bagi tempoh enam bulan tersebut.

Menurut kenyataan itu, kadar tarif asas kekal pada 39.45 sen/kWj dalam tempoh 1 Julai hingga 31 Disember itu.

Kadar itu ditetapkan setelah kerajaan menetapkan baki surcaj Imbalance Cost Pass-Through  (ICPT) sebanyak RM1,148.27 juta atau bersamaan 2.55 sen/kWj dilaksanakan di Semenanjung Malaysia bagi tempoh tersebut, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, hasil semakan mekanisme ICPT  pada setiap enam bulan, yang dibuat suruhanjaya itu bagi tempoh 1 Jan lepas hingga 30 Jun 2019, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain, hingga menyebabkan surcaj ICPT sebanyak RM1,592.13 juta bersamaan dengan 2.94 sen/kWj.

Faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos antaranya ialah kenaikan harga purata bahan api arang batu kepada USD99.235/tan metrik berbanding harga diunjurkan dalam tarif asas bagi tempoh kawal selia kedua Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) (Regulatory Period 2 (RP2): 2018 hingga 2020) iaitu USD75/tan metrik.

Peningkatan harga bahan api arang batu pula adalah di luar kawalan Kerajaan kerana ia adalah berasaskan harga pasaran global, katanya.

Menurut kenyataan itu, dalam tempoh yang sama, melalui tatacara dan metodologi mekanisme IBR RP2 terdapat penjimatan daripada pelarasan hasil Tenaga Nasional Bhd (TNB) berjumlah RM336.70 juta.  

"Oleh itu, kerajaan memutuskan supaya penjimatan tersebut digunakan sepenuhnya untuk mengurangkan surcaj ICPT bersekali dengan peruntukan daripada dana Kumpulan Wang Industri Elektrik berjumlah RM107.16 juta bagi meringankan beban rakyat," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel