Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Usia tidak halang suri rumah raih tempat ketiga Pertandingan Miss and Mrs Kebaya Negeri Sembilan 2019


Tarikh kemaskini: 28/06/2019





SEREMBAN, 28 Jun (Bernama) -- Faktor usia bukanlah penghalang bagi suri rumah berusia 45 tahun ini untuk menyertai Pertandingan “Miss And Mrs Kebaya” Negeri Sembilan 2019, sekaligus memperoleh tempat ketiga pada pertandingan itu. 

Zaizana Zainal Abidin, 45, yang berasal dari Ipoh, Perak berkata pada permulaannya beliau tidak begitu yakin untuk menyertai pertandingan ini apabila memikirkan usianya dan tidak mungkin dapat menandingi peserta yang lebih muda. 

"Bagaimanapun atas dorongan dan galakan daripada suami dan rakan-rakan membuatkan saya lebih yakin dan bersemangat memasuki pertandingan ini.

"Rasa berdebar dan gemuruh semasa memperagakan pakaian dan sesi soal jawab. Ditambah lagi, peserta yang turut serta jauh lebih muda namun saya tetap optimis dan cuba melakukan yang terbaik," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Pertandingan ‘Miss And Mrs Kebaya’ Negeri Sembilan 2019 peringkat akhir di sini, hari ini.

Zaizana yang juga merupakan antara peserta paling berusia bagaimanapun berasa terharu apabila niatnya yang hanya sekadar suka-suka untuk menyertai pertandingan itu akhirnya berpihak padanya apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga. 

Sementara itu, Tengku Nur Hasina Tengku Hidar Shah, 26, meraih tempat pertama sementara Noor Sheryl Aida Mohd Ropian, 24, mendapat tempat kedua dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM150 dan RM100

Seramai 20 finalis daripada pelbagai latar belakang dan umur berentap dalam peringkat akhir Pertandingan ‘Miss And Mrs Kebaya’ Negeri Sembilan 2019 ini, malam ini. 

Pertandingan ‘Miss And Mrs Kebaya’ Negeri Sembilan 2019 ini merupakan sebahagian daripada program Karnival Hari Raya Benteng Walk anjuran kerajaan negeri dengan Persatuan Peniaga Medan Selera Benteng Walk yang berlangsung di Benteng Walk bermula hari ini hingga Ahad nanti.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Nicole Tan Lee Koon berkata program ini dapat menonjolkan kebersamaan pelbagai kaum dalam satu acuan perpaduan selain menjadikan Benteng Walk sebagai tempat tarikan pelancongan di Negeri Sembilan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel