Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga persatuan wartawan Pulau Pinang diminta hubungi MOF untuk pulangkan wang 1MDB


Tarikh kemaskini: 29/06/2019





BUTTERWORTH, 29 Jun (Bernama) -- Tiga persatuan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang diminta berhubung dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memulangkan wang yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata ketiga-tiga persatuan wartawan ini telah mengakui menerima RM50,000 setiap satu persatuan dengan jumlah keseluruhan RM150,000 dari 1MDB.

"Saya rasa ketika itu mereka tidak tahu mana punca wang ini, tetapi selepas tahu saya rasa mereka tahu apa yang mereka sepatutnya buat la.

"Terdapat pelbagai saluran untuk mereka pulang wang 1MDB dan mereka harus menghubungi MOF untuk mengetahui prosesnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, mereka harus kembalikan wang 1MDB kerana ini wang yang sedang dalam siasatan.

Selasa lepas, Lim mengumumkan Persatuan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang antara pihak dikenal pasti turut menerima dana yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Ketika ditanyakan sama ada ketiga-tiga persatuan wartawan ini akan dipanggil untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lim berkata beliau tidak pasti kerana perkara itu diluar bidang kuasa beliau.

"Saya rasa perkara (siasatan) itu akan datang tetapi segala terpulang kepada SPRM namun dalam rekod kami memang jelas nama mereka ada," katanya.

Sementara itu, Lim yang juga setiausaha agong DAP berkata saranan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau untuk mendapatkan semula wang 1MDB dari bekas pemimpin-pemimpin UMNO dalam Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai 'tidak masuk akal'.

Katanya, mereka tidak menerima wang ini kerana wang 1MDB ini tidak masuk ke dalam akuan peribadi mereka.

"Jangan minta saya saya tuntut wang daripada mereka yang tidak menerima wang 1MDB. Jadi saya rasa pembangkang ini sudah hilang akal dan tidak tahu macam mana nak tangani 1MDB," katanya.

Dominic rabu lepas, menggesa Lim memulakan dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam usaha mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar daripada salah guna kes 1MDB.

Terdahulu, Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan telah memberi bantuan kewangan dengan jumlah keseluruhan RM11,000 kepada lapan mangsa ribut di Bagan Jermal pada 22 Jun lepas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel