Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengusaha kedai makan diminta pamer tanda larangan merokok atau bakal disaman


Tarikh kemaskini: 29/06/2019





SEREMBAN, 29 Jun (Bernama) -- Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengingatkan pengusaha kedai makan agar mempamerkan tanda larangan merokok di premis perniagaan mereka, kerana mereka  berdepan dengan tindakan saman, sekiranya gagal berbuat demikian, bermula 1 Januari tahun hadapan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata justeru dalam tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di premis makanan yang dilanjutkan sehingga Disember ini, ia bukan sahaja perlu dimanfaatkan golongan perokok tetapi juga pengusaha kedai makan.

“Dari segi pematuhan premis untuk mempamerkan tanda larangan merekok agak tinggi, kita sudah buat pemeriksaan di 111,042 premis makanan dan antaranya hanya 26,357 yang tidak mempamerkan notis larangan merokok ini, kebanyakkannya patuh.

“Buat sementara waktu ini kita cuma bagi amaran kerana kita masih di peringkat penguatkuasaan pendidikan tetapi tahun hadapan sekiranya masih terdapat premis yang gagal mematuhi arahan ini, kita akan ambil tindakan saman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Negeri Sembilan Presidangan Saintifik  Kesihatan Oral 2019 di sini, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 25 April lepas mengumumkan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan di tempat makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok dilanjutkan selama enam bulan lagi iaitu sehingga Disember ini.

Tempoh enam bulan sebelum ini ditetapkan berakhir pada bulan hadapan selepas pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula pada 1 Januari lepas dan susulan itu, tiada lagi penangguhan tindakan saman ke atas individu yang merokok di premis makanan selepas 1 Januari tahun hadapan.

Lee dalam pada itu turut menggalakkan mana-mana pengusaha kedai makan yang secara sukarela menghentikan penjualan rokok di premis mereka dan memberikan tumpuan kepada ‘core business’ mereka seperti yang dilakukan restoran Pelita.

“Kita sebelum ini pernah mempertimbangkan untuk mendaftar premis yang menjual rokok tetapi perkara itu masih belum ada keputusan bagaimanapun sudah ada premis yang secara sukarela menghentikan penjualan rokok di premis mereka, ini amat kita galakkan kerana mereka (pengusaha) seharusnya menumpukan core business mereka.

“Memang kita gembira bila restoran ambil tindakan atau inisiatif berhenti jual rokok sebab kita sebenarnya berharap rokok ini tidak begitu senang untuk diakses perokok khususnya perokok yang masih remaja,” katanya.

Mengenai pendaftaran perokok untuk mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok di klinik kesihatan, hospital kerajaan dan swasta, farmasi termasuk pendaftaran secara atas talian, Lee berkata sejak pengumuman perluasan kawasan larangan merokok yang mula dilaksanakan tahun ini, jumlah pendaftaran merekodkan peningkatan.

“Berdasarkan statistik pendaftaran bagi perkhidmatan berhenti merokok yang diterima pada 2015 merekodkan seramai 7,757; 2016 seramai 9,570; 2017 seramai 10,240 manakala pada 2018 seramai 20,032.

“Bagi pendaftaran secara atas talian pula pada 2016 seramai 474; 2017 seramai 325; pada 2018 seramai 485 manakala pada 2019 seramai 1,182,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel