Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pesaka yakin barisan muda raih emas pada Sukan SEA 2019


Tarikh kemaskini: 29/06/2019





KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) yakin barisan muda pesilat negara mampu menghadirkan kilauan pingat emas pada saingan Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.

Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata walaupun Malaysia kehilangan beberapa prospek emas dalam beberapa acara tempur, beliau yakin beberapa pesilat muda yang akan dipilih nanti dapat mempamerkan aksi cemerlang pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.

“Saya tengok saingan pada kali ini adil walaupun kita kehilangan (prospek emas) terutamanya dalam acara kelas yang lebih berat menerusi Muhd Al Jufferi Jamari, Siti Rahmah Mohamed Nasir dan Muhammad Robial Sobri. 

“Tetapi itu tidak bermaksud pesilat kita yang bertanding dalam kategori lebih kecil seperti Muhammad Faizul Nasir dalam kategori Putera B gagal memberikan saingan dan saya yakin pesilat kita terutamanya pesilat muda akan memberikan persembahan terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Batu Caves, dekat sini, malam tadi.

Megat Zulkarnain yang juga ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2019, bagaimanapun, mengingatkan barisan pesilat negara supaya tidak memandang rendah keupayaan pesilat negara lain seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan tuan rumah Filipina yang bakal memberikan saingat sengit kepada mereka pada temasya sukan berkenaan.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain memaklumkan skuad silat negara akan menjalani latihan intensif selama dua minggu pada bulan depan di Thailand, sambil memaklumkan negara jiran berkenaan menjadi destinasi latihan kerana ia merupakan antara pencabar utama Malaysia dalam sukan silat di rantau ini.

“Saya difahamkan Thailand akan menganjurkan Kejuaraan Silat Pantai Dunia (pada tarikh sama), tetapi kami mengambil keputusan untuk tidak menghantar pesilat negara sebab kejohanan berkenaan agak kasar dan kami risau mereka tidak sempat pulih sebelum bermulanya Sukan SEA,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan pesilat ke Sukan SEA 2019, Megat berkata Jawatankuasa pemilihan dan persediaan atlet Pesaka akan mengadakan mesyuarat pada Julai ini bagi menentukan senarai akhir barisan pesilat negara ke Filipina.

Filipina dilaporkan hanya mempertandingkan 10 acara silat dengan menggugurkan acara Putera dan Puteri E yang pernah dimenangi dua juara dunia iaitu Muhd Al Jufferi dan Siti Rahmah pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sekali gus menyaksikan Malaysia sah kehilangan dua pingat emas.

Untuk rekod, skuad silat negara muncul juara silat pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan kutipan 10 pingat emas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel