Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Majikan swasta diminta timbang beri cuti paterniti kepada suami


Tarikh kemaskini: 29/06/2019




IPOH, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta majikan sektor swasta supaya memberi pertimbangan sewajarnya untuk cuti paterniti selama tiga hari ke atas golongan suami jika isteri mereka bersalin. 

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata cuti paterniti yang dicadangkan Kementerian Sumber Manusia untuk golongan bapa di sektor swasta perlu dilaksanakan kerana mereka perlu memainkan peranan bagi meringankan beban ibu yang baharu melahirkan anak.

"Apabila para ibu melahirkan anak apatah lagi secara pembedahan yang sudah tentu memerlukan pertolongan dan penjagaan daripada golongan bapa, ia akan memberi tekanan kepada wanita sekiranya perlu melakukan pelbagai urusan seorang diri.

"Jika mereka mempunyai anak-anak yang lain untuk dijaga, sudah tentu para ibu tidak mampu menangani seorang diri. Jadi, para majikan perlu menimbang mengenai perkara itu kerana dari sudut kekeluargaan, adalah penting para isteri yang baharu melahirkan anak mendapat sokongan dari golongan suami," katanya.

Yeoh berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Santuni Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut dihadiri isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Nomee Ashikin Mohamed Radzi di Sekolah Semangat Maju di sini, hari ini.

Pada 20 Jun lalu, Kementerian Sumber Manusia bercadang memperkenalkan cuti paterniti selama tiga hari kepada golongan bapa yang bekerja di sektor swasta melalui pindaan Akta Kerja 1955.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata draf pindaan di bawah Akta Kerja 1955 sedang disiapkan dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen. 

Bagaimanapun, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta atas alasan ia memberi kesan kepada kos operasi syarikat.

Pada masa ini, golongan bapa di sektor swasta tidak layak dari segi perundangan untuk cuti paterniti manakala golongan bapa dalam sektor awam menikmati tujuh hari cuti paterniti bergaji. 

Terdahulu, dalam ucapannya Yeoh melahirkan penghargaan kepada Persatuan Orang Kurang Upaya Intelek Perak (sub: Perak Association for Intelecually Disabled) (PAFID) yang mengambil langkah proaktif membantu golongan OKU daripada segi masalah pembelajaran dengan mewujudkan sekolah dan bengkel terlindung (sheltered workshop) di negeri ini.

"Sebanyak lima sekolah dan empat bengkel, sebuah kilang serta sebuah pusat penjagaan harian yang dikendalikan PAFID dengan menyediakan latihan pendidikan dan vokasional serta latihan kerja secara holistik.

"Tahniah saya ucapkan kepada PAFID kerana mengambil langkah proaktif dalam membantu golongan OKU bagi membolehkan mereka juga mampu berjaya seperti manusia normal yang lain," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel