Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Industri ekuin negara perlu badan selia pacu hala tuju


Tarikh kemaskini: 29/06/2019





Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 29 Jun  (Bernama) -- Industri ekuin yang semakin berkembang di negara ini dilihat memerlukan sebuah badan atau agensi untuk mengawal selia industri itu daripada ‘terumbang-ambing’ tanpa hala tuju yang jelas.

Bukan sekadar untuk aktiviti sukan dan riadah seperti lumba kuda, pertunjukan show jumping, dressage dan perlumbaan kuda lasak, industri ini turut menyumbang kepada pendapatan negara kerana adanya pembekal makanan kuda di Malaysia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Abu Dhabi, Australia dan Sweden.

Selain itu, ladam kuda buatan anak tempatan yang dikeluarkan di Selangor, kini digunakan di beberapa negara khususnya di United Kingdom dan Australia.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan satu badan yang boleh menyelaras pembangunan industri kuda di Malaysia.

"Sekarang ni kami dapati pembangunan industri ini bergantung kepada persatuan atau individu itu sendiri yang menggerakkan industri ini sedangkan banyak aspek yang memerlukan intervensi daripada kerajaan untuk memastikan industri ini kekal berdaya saing,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Justeru, JPV kini sedang giat mengumpul pandangan, input dan data daripada semua pihak yang terlibat dalam industri ini untuk mencari penyelesaian dalam masalah dan hala tuju industri ekuin negara ini, katanya.

"Mungkin dalam tempoh tiga ke enam bulan ini, kami akan menghantar kertas cadangan berkenaan keperluan satu badan atau agensi yang mengawal selia pembangunan industri kuda kepada kerajaan untuk dipertimbangkan,” katanya.

Dr Quaza Nizamuddin berkata industri ekuin mempunyai potensi untuk menyumbang kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

"Contohnya seperti makanan kuda, pengusaha yang terlibat memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan untuk terus kekal berdaya saing dan menjadi pengeksport makanan kuda walaupun negara kita bukanlah terkenal dengan kudanya,” katanya.

Dengan adanya badan atau agensi yang menyelaras industri kuda, ia akan dapat menarik lebih ramai usahawan untuk terlibat dalam industri tersebut, katanya.

Industri ekuin mula bertapak di negara ini sekitar 150 tahun dahulu dan pada masa sekarang populasi kuda di Malaysia adalah sebanyak 4,696 ekor kuda dengan 56 pusat equestrian di seluruh Malaysia.

Dr Quaza Nizamuddin berkata aspek kebajikan kuda juga tidak boleh diketepikan dan JPV kini sedang menggubal peraturan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang antaranya mensyaratkan setiap pusat jagaan kuda perlu mendapatkan lesen sebelum dibenar untuk beroperasi.

"Terdapat juga beberapa isu penguatkuasaan yang perlu dilaksanakan khususnya, mengeluarkan pasport kuda untuk semua ekuin dan pengenalan cip mikro yang dipasang kepada setiap kuda, untuk memantau keadaan kuda dan mengenal pasti tuannya,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel