Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mesyuarat agung tahunan MPM tangguh


Tarikh kemaskini: 29/06/2019





KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kemelut mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak berkesudahan apabila ia ditangguhkan hari ini.

Timbalan Presiden MPM John Ng berkata AGM bagi penggal 2019-2023 itu ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian selepas mendapat persetujuan sebulat suara semua 24 ahli gabungan MPM.

“Pada mesyuarat hari ini, semua ahli gabungan telah bersetuju untuk menangguhkan AGM ini sementara mendapat tarikh yang baharu yang akan dikemukakan kepada Pesuruhjaya Sukan.

“Kami akan mengadakan AGM baharu bergantung permohonan kepada Pesuruhjaya Sukan. Selepas itu kami akan mengikut perlembagaan dan memulakan proses semula,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan AGM itu yang berlangsung secara harmoni selama dua jam di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kg Pandan hari ini.

Berdasarkan perlembagaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh penangguhan, MPM perlu memanggil semua ahli gabungan untuk membincangkan tarikh baharu sebelum diserahkan kepada Pesuruhjaya Sukan.

“Mesyuarat exco akan dilangsungkan dalam tempoh 30 hari untuk memutuskan tarikh baharu AGM,” katanya.

Ditanya mengenai status pencalonan bagi pemilihan ahli jawatankuasa eksekutif badan induk sukan para itu, John bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Pada mesyuarat yang berlangsung pada 10 pagi, penyandang jawatan Presiden SM Nasarudin SM Nasimuddin tidak kelihatan.

Begitu juga dengan kedua-dua calon jawatan nombor satu MPM, bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan pencabarnya Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin tidak kelihatan.

Difahamkan, Megat Shahriman menghadiri pemilihan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) dan memenangi kerusi presiden persatuan itu.

Kerusi nombor satu MPM itu hangat diperbedatkan apabila Khairy atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Persatuan Ragbi Roda mencetuskan kontroversi apabila turut dikaitkan dengan menghantar borang pencalonan melebihi tempoh dibenarkan.

Perkara itu menyebabkan rasa tidak puas hati Megat Shahriman menyerahkan sejumlah bukti kepada PJS bagi menyemak semula kelayakan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel