Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PAS dilihat sering manipulasi agama demi kepentingan politik - penganalisis


Tarikh kemaskini: 29/06/2019




Oleh Norhayati Mohd Akhir

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Matlamat PAS yang menyifatkan tindakan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) perkara wajib dilakukan adalah bermotifkan memanipulasi Islam demi kepentingan politik semata-mata, kata penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Beliau berkata rumusan ini dibuat berdasarkan kepada perjuangan PAS selama menjadi pembangkang sejak lebih 60 tahun lepas.

“PAS, parti berfahaman nasionalis. Perjuangan kononnya berlandaskan Islam hanya sekadar wadah sahaja, tidak bermakna parti itu sewenang-wenang boleh jatuhkan hukum wajib atau haram ke atas mana-mana parti politik,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Prof Politik dan Perhubungan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata kenyataan sebegini yang bersifat provokasi juga seringkali diulang PAS terhadap mana-mana kerajaan memerintah memandangkan parti berkenaan berjuang bagi mencapai matlamat menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Pada Muktamar Tahunan PAS ke-65 di Kuantan baru-baru ini, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dipetik sebagai berkata menjatuhkan kerajaan sedia ada di bawah pemerintahan PH adalah perkara wajib dilakukan.

Senada dengan Mohd Azizuddin ialah Penolong Naib Canselor UUM, Prof Madya Dr Muhammad Fuad Othman, yang berkata PAS sememangnya suka memberi tekanan kepada mana-mana parti dengan mengeluarkan kenyataan kononnya berlandaskan hukum dan agama.

“Saya lihat PAS memang suka kaitkan agama dengan perjuangan mereka sedangkan ini tidak sepatut berlaku. Perjuangan mereka sejak dahulu hanya mahu mendapatkan kuasa… menggunakan agama kononnya berpolitik secara Islam tetapi tidak menggambarkan erti perjuangan sebenar.

“Rakyat pun keliru mana satu pegangan PAS. Sekarang bekerjasama dengan UMNO, mungkin PAS merasakan mereka boleh jatuhkan PH dengan mudah,” katanya.

Muhammad Fuad berkata sekiranya PAS berjuang berlandaskan agama, parti itu perlu mengubah cara sedia ada daripada sering membangkang kepada memberi input atau dorongan kepada PH untuk memperbaiki persepsi rakyat serta memulihkan segala kesilapan yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian menyifatkan tindakan PAS itu hanya sekadar menimbulkan agenda dan matlamat sahaja, sedangkan parti itu sejak dahulu gagal menjatuhkan parti yang dipilih rakyat untuk memerintah negara ini.

“PAS sudah lama jadi pembangkang, maka agenda mereka tetap sama untuk menjatuhkan parti memerintah dengan menghasut rakyat. PAS anggap kerjasama dengan UMNO boleh jadikan parti itu kuat untuk menentang PH, namun tidak semudah yang dijangka,” katanya.

Selain itu, Sivamurugan berkata pentadbiran PH kini dilihat sedang dalam usaha menunaikan setiap janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, sebagai usaha untuk tidak mensia-siakan pilihan yang dibuat rakyat pada pilihan raya tersebut.

Sivamurugan berkata barisan kepimpinan PH tidak perlu gentar dengan sebarang kenyataan berunsur provokasi parti pembangkang sebaliknya mengambil pengalaman sebagai pembangkang sebelum ini untuk dijadikan panduan bagi memahami aspirasi rakyat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel