Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan berhasrat wujudkan 'Angkasa' kedua, perkasakan sektor koperasi


Tarikh kemaskini: 29/06/2019




KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan berhasrat mewujudkan satu lagi badan menyamai Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bagi mencetuskan persaingan sihat selain memastikan aspek pengurusan dan pembangunan koperasi itu dapat dilaksanakan secara efektif.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata walaupun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan, namun ini penting dalam usaha memperkasakan Angkasa serta sektor koperasi negara.

“Kita mengiktiraf Angkasa sebagai sebuah badan berkanun dan sedang mengkaji sama ada untuk mewujudkan badan berkanun kedua...kita nak wujudkan persaingan supaya ia (Angkasa) lebih efektif.

“Apa yang penting, kalau masyarakat koperasi mendokong, memahami wawasan yang kita mahu bawa selaras dengan wawasan kerajaan, maka kita akan terus membantu dan memperkasakan Angkasa,” katanya berucap merasmikian persidangan kebangsaan tahunan Angkasa ke-34 di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mohd Redzuan berkata menyedari potensi yang ada, kementerian itu berperanan mengejutkan koperasi untuk bangkit dan berani menerokai peluang yang disediakan oleh kerajaan.

“Kementerian kena 'cucuk' sikit supaya mereka dapat bangun, berlari lebih kencang dan berfikiran lebih meluas agar menerokai peluang-peluang yang kita wujudkan di peringkat nasional.

“Gerakan koperasi ini sebaliknya boleh dibangunkan menerusi kepimpinan yang baik supaya dapat meningkatkan perolehan selain membantu menggerakkan ekonomi,” katanya.

Malah, beliau turut melabelkan gerakan koperasi di negara ini sebagai ‘gergasi yang masih tidur’ apabila mencatat perolehan per kapita yang tidak memberangsangkan.

Menurutnya, statistik dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia setakat 31 Dis, 2018 menunjukkan perolehan sektor koperasi adalah kira-kira RM40.31 bilion setakat tahun lepas.

“Bagi saya, koperasi yang mempunyai seramai enam juta ahli itu adalah gergasi yang masih tidur pada hari ini sedangkan ia mendapat sokongan kerajaan dari segi dana dan pembiayaan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel