Wartawan main peranan penting dalam membanteras berita palsu
Tarikh kemaskini: 29/06/2019
Oleh Soon Li Wei
PETALING JAYA, 29 Jun (Bernama) -- Wartawan perlu bersiap sedia memainkan peranan besar dalam membanteras berita palsu tatkala pihak berkuasa meningkatkan usaha untuk memerangi pertumbuhan ancaman, demikian kata bekas Ketua Pengarang Agence France Presse (AFP), Eric Wishart
Beliau berkata, para wartawan mempunyai keupayaan melakukan pemeriksaan maklumat dengan pihak berkuasa dan sumber yang berkenaan untuk mendedahkan kebenaran.
"Adalah mustahil untuk menghalang orang ramai daripada menyebarkan berita palsu, tetapi satu-satunya strategi untuk memeranginya ialah menerusi literasi media, itulah senjatanya,” katanya kepada Bernama semasa Majlis Hari Raya anjuran The Language House di sini, hari ini.
Wishart, Naib Presiden pertama Kelab Koresponden Luar Negara Hong Kong (FCCHK) berkata, oleh itu akta anti-berita palsu tidak perlu bagi sesebuah negara mengawal merebaknya berita palsu kerana kebanyakan negara telahpun mempunyai undang-undang yang berhubung dengan ungkapan kebencian.
“Ia amat subjektif untuk menyekat orang ramai di bawah undang-undang itu (anti-berita palsu) kerana ia bertindak sebagai senjata untuk sesetengah ahli politik bagi menyerang wartawan yang mereka tidak suka,” katanya.
Beliau berkata, isu berhubung dengan pilihan raya, bencana alam, konflik, perubatan dan makanan serta kebencian agama mudah menjadi unsur berita palsu yang mempengaruhi orang ramai terutama menerusi media sosial.
Wishart menjelaskan bahawa AFP telah mengambil langkah-langkah dengan menjalinkan perkongsian dalam memerangi salah maklumat termasuk membangunkan alat verifikasi dan pemeriksaan fakta.
"Contohnya, AFP mempunyai rakan kongsi di Fakulti Kewartawanan Universiti Hong Kong dalam membangunkan kod etika Standard Editorial dan Amalan Baik di China bagi mempromosi literasi media dan jangkauan dalam pendidikan.
"Malah, kita juga mendapat sokongan daripada beberapa paltform media sosial seperti 'Projek Kewartawanan Facebook', 'Inisiatif Berita Google', 'Luminate' dan 'WhatsApp' untuk mengenalpasti berita palsu,” katanya.
-- BERNAMA
|