Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

C190 bertepatan dasar MTUC


Tarikh kemaskini: 29/06/2019





KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor menjelaskan bahawa pihaknya komited untuk mendapatkan persetujuan kerajaan bagi meratifikasi Konvensyen Menghapuskan Keganasan dan Gangguan di Tempat Kerja (C190).

Beliau berkata, konvensyen itu bertepatan dengan dasar dan matlamat MTUC dalam membela warga pekerja.

Mengulas mengenai keputusan MTUC yang mengundi menentang C190 pada persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva pada 21 Jun lepas, Abdul Halim berkata ia disebabkan berlakunya salah faham.

"Pihak saya akur berlaku salah faham atau salah tanggapan tertentu yang membawa kepada MTUC mengundi menentang C190. 

“Buat masa ini, lebih elok untuk diri saya dan kepimpinan MTUC tidak menghuraikan salah faham yang dimaksudkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, MTUC turut menyambut baik pengumuman Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran pada Khamis lepas bahawa kerajaan boleh menyokong perakuan dalam konvensyen berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata MTUC akan melancarkan program kesedaran mengenai C190 untuk pekerja dan pada masa sama, mengambil tindakan yang perlu untuk meyakinkan kerajaan meratifikasi konvensyen itu.

Abdul Halim turut menggesa semua pihak untuk memperinci cadangan pembaharuan undang-undang buruh MTUC yang dikemukakan kepada kerajaan baru-baru ini, bagi memastikan golongan pekerja memperoleh perlindungan wajar daripada keganasan atau gangguan tanpa mengira latar belakang mereka.

"Cadangan-cadangan itu sebenarnya merangkumi hampir keseluruhan peruntukan dalam C190 dan kami yakin Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) akan menerima cadangan-cadangan itu demi memastikan kepentingan dan keselamatan semua pekerja tidak terpinggir, malah ditambah baik," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel