Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tahan 11 lelaki proses dan jual air ketum


Tarikh kemaskini: 29/06/2019





BUKIT MERTAJAM, 29 Jun (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan dua sindiket memproses dan menjual air ketum selepas menahan 11 lelaki dalam dua serbuan berasingan di Bukit Mertajam pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Jalan Berangan Sembilan, Bukit Teh di sini kira-kira pukul 5.45 petang, polis menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 26 tahun.

"Pemeriksaan dalam bilik air rumah itu telah menemui satu tong ais mengandungi 48 bungkusan air ketum bernilai RM480 dipercayai diproses tiga lelaki itu sebelum dijual kepada pelanggan tetap mereka di sekitar kawasan Bukit Mertajam bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Tok Elong pukul 7.30 petang, di sini polis menahan lapan lelaki berusia 21 hingga 43 tahun hasil risikan dan intipan yang dijalankan polis sejak seminggu lepas.

Menurutnya pemeriksaan dalam rumah milik seorang daripada lelaki yang ditahan itu menemui 28 bungkusan air ketum bernilai RM280 yang telah siap diproses dan untuk dijual.

"Selain menjadikan rumah itu tempat memproses air ketum, sindiket itu turut menjadikan ia sebagai tempat untuk pelanggan mereka minum air ketum," katanya.

Nik Ros Azhan berkata siasatan awal mendapati kedua-dua sindiket itu mendapatkan bekalan air ketum dari negeri jiran sebelum mereka memprosesnya menjadikan air ketum dan menjual di sekitar Bukit Mertajam.

"Permintaan tinggi untuk air ketum menjadikan sindiket-sindiket itu mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan. Semua 11 lelaki itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel