Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kementerian bincang dengan Kedah untuk gabung tanah pertanian - Rina Harun


Tarikh kemaskini: 29/06/2019




KULIM, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Kedah bagi mengenal pasti kawasan-kawasan pertanian kecil di negeri ini untuk digabungkan dan diuruskan sebagai sebuah estet besar.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata terdapat banyak kawasan pertanian di Kedah yang diuruskan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang jika digabungkan mampu meningkatkan pengeluaran yang seterusnya akan menguntungkan petani.

“Kita lihat besar kawasan di Kedah terlibat dengan pertanian padi, sekiranya mahu digabungkan perlu ada perbincangan dengan kerajaan negeri dan kementerian pula boleh membantu bukan sahaja dari segi tanah digabung (menjadi estet) tapi pentingnya dari segi penggunaan teknologi.

Supaya hasil pengeluaran padi dapat ditingkatkan dari empat kali setahun mungkin boleh menjadi lima kali setahun namun perlu ada kajian yang dijalankan, saya yakin ia akan dapat direalisasikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Serdang Lake View Resort, di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata konsep pertanian estet juga akan menggalakkan penggunaan teknologi kerana kawasan yang lebih luas untuk diuruskan, justeru pengeluaran pertanian dapat ditingkatkan.

Rina berkata, selain memberi manfaat kepada petani dan pekebun kecil, penggabungan kawasan pertanian turut akan memberi manfaat kepada masyarakat sekitarnya yang berpeluang menjalankan aktiviti keusahawanan.

”Jika di sawah padi banyak ikan yang boleh dijadikan pekasam, contohnya di Kampung Sidam, di sini penduduk boleh proses ikan menjadi pekasam sebagai pendapatan sampingan.

“Kalau padi, selepas tuai jerami boleh dijadikan makanan haiwan ternakan yang kaya dengan serat, kita perlu cipta ‘waste to wealth’ dalam usaha menjana pendapatan,” katanya yang turut berharap penggabungan kawasan pertanian menjadi estet dapat mengurangkan jurang pendapatan antara luar bandar dan bandar.

Khamis lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan memperkenalkan model pertanian estet yang mencantumkan tanah-tanah milik pekebun kecil untuk diuruskan dalam skala besar bagi meningkatkan pendapatan para pekebun kecil di luar bandar.

Terdahulu Rina merasmikan Serdang Lake View Resort iaitu pusat penginapan yang mempunyai sebanyak 33 buah bilik, dua buah asrama lelaki dan perempuan serta sebuah dewan yang diuruskan oleh anak syarikat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) iaitu KEDA Resort & Holidays Sdn Bhd.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel