Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kes Koh, Amri: Pelantikan Mokhtar tidak jejas siasatan - Muhyiddin


Tarikh kemaskini: 29/06/2019





KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Pelantikan bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Mokhtar Mohd Noor dalam pasukan petugas khas (PPK) menyiasat kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat tidak akan menjejaskan kredibiliti siasatan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Mokhtar hanya hadir dalam satu sesi semasa inkuiri menyiasat kehilangan kedua-dua individu berkenaan yang dijalankan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), dan tidak terlibat secara langsung.

“Saya yakin ia tidak menjejaskan kewibawaan pasukan petugas berkenaan, saya dapat maklumat bahawa beliau (Mokhtar) ada terlibat sekali dalam masa pendengaran kes sahaja.

“Lebih daripada itu tidak ada...keanggotaan ramai, seorang sahaja tidak boleh kalau ada tujuan hendak mempengaruhi. Lagi pun pengerusinya bekas Hakim Mahkamah Tinggi,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kelestarian Pertubuhan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas lanjut berhubung dakwaan keluarga Koh serta Amri yang tidak bersetuju dengan pemilihan anggota pasukan petugas khas ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat kehilangan anggota keluarga mereka.

Rabu lepas, Muhyiddin mengumumkan PPK ditubuhkan dengan melibatkan enam anggota yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd Rahim Uda.

PPK turut dianggotai Mokhtar; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Datuk Muhammad Bukhari Ab Hamid.

Selain itu, Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Mohd Sophian Zakaria; dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis KDN Mohd Russaini Idrus.

April lepas, Suhakam mengeluarkan laporan yang membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas terlibat terhadap kehilangan secara paksa Koh serta aktivis sosial Amri, dan susulan laporan itu, Kabinet pada 23 Mei bersetuju sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi meneliti laporan Suhakam itu.

Koh, 64, dilapor diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya, dekat sini, pada 13 Feb 2017, sementara Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 Nov 2016.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel