Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Laporan kimia pencemaran Sungai Semenyih siap minggu depan - Exco


Tarikh kemaskini: 29/06/2019





KAJANG, 29 Jun (Bernama) -- Laporan penuh analisa Jabatan Kimia mengenai jenis bahan kimia yang menjadi punca pencemaran Sungai Semenyih, dijangka siap dalam tempoh seminggu lagi.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata perkara itu masih disiasat, namun setakat ini proses pemulihan air telah mencapai 100 peratus. 

“Kalau kita dapati kilang itu menyalahi undang-undang, kita akan mengambil tindakan dengan (memastikan pemilik) kilang itu (dihadapkan) ke mahkamah di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974),” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Katanya beliau juga berharap pihak berkuasa akan mempertimbangkan cadangan untuk memindahkan kilang berkenaan ke kawasan lebih sesuai agar kejadian sama tidak berulang, kerana kilang berkenaan terletak sangat hampir dengan sungai.

Khamis lepas media melaporkan sebuah kilang memproses minyak kelapa sawit diarah tutup selepas dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih, sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) sungai berkenaan dihentikan operasinya. 

Sejumlah 512 kawasan melibatkan 377,141 pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah secara berperingkat susulan insiden itu.

Terdahulu, Hee merasmikan program Jelajah 360 Smart Selangor - Kajang anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam. 

Sementara itu, Pengarah Urusan SMARTSEL Sdn Bhd, Mohamad Suhaimi berkata program Jelajah 360 Smart Selangor adalah platform untuk memperkenalkan inisiatif kerajaan Selangor khususnya Smart Selangor kepada masyarakat.

Katanya antara inisiatif diperkenalkan di bawah program itu sejak 2015 adalah Wifi Smart Selangor bagi kemudahan jalur lebar percuma, Intelligent Response Selangor bagi melaporkan kes jalan berlubang dan kemudahan bas percuma Smart Selangor. 

“Kita juga memperkenalkan aplikasi Smart Selangor Parking yang mana pengguna tidak perlu lagi guna sistem kupon pada masa hadapan, malah kita berhasrat memperluaskan lagi rangkaian jalur lebar percuma di lebih banyak tempat,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel