Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perak sahkan tiket ke perlawanan akhir Piala FA 2019


Tarikh kemaskini: 29/06/2019





IPOH, 29 Jun (Bernama) -- Perak mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala FA 2019 apabila mencatatkan kemenangan agregat 4-3 ke atas Pahang di Stadium Perak, di sini, malam ini. 

Skuad kendalian Mehmed Durakovic itu menumbangkan Pahang 3-0, selepas tunduk 1-3 pada aksi separuh akhir pertama, di Stadium Darul Makmur pada 22 Jun lalu. 

Beraksi di hadapan lebih 20,000 penonton, The Bos Gaurus terlebih dahulu mencemaskan kubu lawan, namun percubaan Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-24 didakap kemas penjaga gawang, Mohd Helmi Eliza Elias. 

Perak terus melancarkan serangan ke kubu Tok Gajah dan akhirnya pada minit ke-34, Brendan Gan berjaya mencetak nama selaku penjaring apabila menanduk masuk bola hasil sepakan sudut Muhammad Firdaus. 

Pasukan tuan rumah terus menggandakan jaringan pada minit ke-42 apabila J. Parthiban berjaya menewaskan Mohd Helmi Eliza melalui satu sepakan lencong ke sebelah kanan gawang gol Pahang. 

Berselang seminit, Pahang terus dirundung malang apabila pemain pertahanan, Mohd Faisal Mohd Rosli tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang oleh Mohd Nor Hakim Hassan sekaligus menjadikan kedudukan 3-0.

Bersambung babak kedua, Pahang cuba merapatkan kedudukan pada minit ke-77, namun sepakan percuma daripada jarak 25 meter yang dilakukan pemain kebangsaan Singapura, Muhammad Safuwan Baharuddin melambung tinggi . 

Tersentak dengan percubaan itu, Perak nyaris menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-85, namun tolakan daripada Parthiban hasil hantaran lintang Mohd Nor Hakim berjaya ditepis keluar oleh Mohd Helmi Eliza di atas garisan gol Pahang. 

Kedua-dua pasukan terus melancarkan serangan ke kubu lawan masing-masing namun kedudukan Perak 3, Pahang 0 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel