Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Isu air minuman tercemar bakteria dalam siasatan


Tarikh kemaskini: 30/06/2019




KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Siasatan sedang dijalankan ke atas air minuman dalam botol dari sebuah syarikat pengeluar Malaysia  yang dilarang masuk ke Singapura kerana didapati mengandungi bakteria.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata lebih banyak maklumat diperlukan untuk melakukan siasatan dan kementerian mendapati pengeluar berkenaan turut mempunyai beberapa produk yang dijual di pasaran tempatan.

“Kami perlukan lebih banyak maklumat mengenai produk berkenaan, kelompok mana yang terjejas dan punca masalah. Jika produk yang dijual di pasaran tempatan terjejas, kami akan memanggil balik produk berkenaan, “ katanya dalam satu sidang akhbar di majlis makan malam Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-Sayuran dan Pemborong Sayur-Sayuran Kuala Lumpur, di sini malam ini.  

Awal hari ini, Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata import kesemua air minuman dan air mineral dalam botol daripada pengeluar itu tidak dibenarkan, dengan serta merta selepas ia mengesan  Pseudomonas aeruginosa, sejenis bakteria yang selalunya ditemui pada najis, tanah, air dan kumbahan buat kali kedua.

Lee berkata jika didapati bersalah, tindakan wajar akan dikenakan ke atas pengeluar terbabit mengikut Akta Makanan 1983.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan sedang bekerja sama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menggalakkan semua industri berkaitan untuk menggunakan sistem jejak dan kesan bagi memastikan produk makanan adalah suci dan selamat. 

“Dengan sistem jejak dan kesan, kami boleh memastikan proses pengagihan produk makanan, daripada pembungkusan ke logistik sehingga penghantaran adalah selamat.

Daripada sistem itu, sekiranya ada masalah tentang kebersihan berlaku, kami perlu memanggil balik untuk melihat di mana produk itu telah pergi dan pasaran atau cawangan mana dan dari sana kami boleh mengesan puncanya,” kata beliau.

Beliau berkata sistem jejak dan kesan juga penting untuk perniagaan eksport makanan yang mana negara lain menerima makanan dari Malaysia, selain sebagai satu garis panduan bagi memastikan produk yang dikeluarkan adalah selamat. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel