Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk Segari minta Majlis Daerah Manjung selesai pencemaran air parit


Tarikh kemaskini: 30/06/2019





LUMUT, 30 Jun (Bernama) -- Penduduk Kampung Batu 10, Segari di sini, meminta Majlis Daerah Manjung menyelesaikan isu pencemaran air parit di kawasan itu yang bukan sahaja mengeluarkan bau busuk malah menyebabkan masalah kegatalan kulit kepada komuniti setempat. 

Seorang penduduk, Zabidi Said, 63, berkata belum pun selesai masalah lalat yang membelenggu kampung itu sejak puluhan tahun lalu, kini pencemaran air parit sejak empat bulan lepas menyukarkan aktiviti berkebun termasuk untuk meracun. 

Beliau yang mempunyai kebun seluas dua hektar berkata sebelum ini penduduk kampung termasuk petani menggunakan air dari parit itu untuk meracun kerana ia bersih dan jernih. 

"Sekarang saya terpaksa mengangkut empat tong air untuk meracun di kebun. Perkara ini menyusahkan kami kerana rumah jauh dari kebun. Masalah 'serangan' lalat pun belum selesai," katanya ketika ditemui pada tinjauan media bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Rakan Segari di kampung berkenaan. 

Zabidi berkata air parit menjadi hitam dan berbau busuk disyaki kerana pengusaha reban ayam yang kini menggunakan kaedah  bertutup dikatakan membuang sisa selepas mencuci reban ke dalam parit sebelum mengalir ke Sungai Gelam, Segari.

Menurut Zabidi sebelum ini air cucian reban terus meresap ke tanah dan penduduk kampung diberitahu pengunaan sistem tertutup dapat membantu menyelesaikan masalah lalat, namun sekarang masalah lain pula timbul. 

"Bila penduduk bising pengusaha akan membuat semburan asap (fogging) dan kami juga sudah banyak kali menyuarakan isu ini. Takkan nak tunggu sampai orang jatuh sakit baru nak ambil tahu, justeru itu harapan kami kali ini ada tindakan lebih tegas untuk atasi masalah ini," katanya. 

Bagi Pazaer Senawi, 65,  yang tinggal di muara Sungai Gelam, air dari parit di kebun berkenaan yang tercemar menyebabkan bau najis ayam di sungai berkenaan apabila air surut. 

Katanya, hasil ikan di muara Sungai Gelam juga semakin berkurangan sejak pelbagai aktiviti dijalankan di kawasan Segari. 

"Sekarang ini kalau mahu makan saya terpaksa menunggu air pasang sebab tiada bau busuk yang menjadi masalah penduduk di sini selain isu lalat sejak sekian lama," katanya. 

Sementara itu, jurucakap NGO terbabit, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pencemaran air dilihat semakin serius selain isu gangguan lalat yang sudah lama berlaku sejak sekian lama akibat aktiviti ternakan ayam serta tapak pelupusan sampah. 

Katanya, jika masalah berkenaan dibiarkan berlarutan ia dikhuatiri akan menimbulkan wabak penyakit dan berharap pihak berkaitan serta kerajaan negeri dapat mengambil tindakan drastik mengatasi isu itu kerana ia turut menjejaskan sosia ekonomi penduduk dan aktiviti pelancongan. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel