Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Majikan berperanan tangani isu suami isteri terpisah akibat kerja - TPM


Tarikh kemaskini: 30/06/2019





BANGI, 30 Jun (Bernama) -- Majikan perlu berperanan dalam menangani isu pasangan suami isteri yang hidup terpisah akibat tuntutan pekerjaan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata antara lain, majikan boleh mengaplikasikan waktu kerja anjal bagi pekerja yang tinggal berjauhan dengan pasangan, sekali gus memberikan mereka lebih banyak masa bersama keluarga.

Sebagai contoh, katanya pekerja terbabit boleh diberikan lebih hari bercuti, selepas mereka melaksanakan atau memenuhi tempoh waktu bekerja minimum yang diperlukan dalam seminggu.

“Katakanlah waktu bekerja itu boleh dipanjangkan tiap-tiap hari dan jika dikumpul (tempoh jam bekerja dalam seminggu) dan anda sudah melakukannya, anda boleh bercuti.

"Dengan itu, pekerja yang duduk berjauhan dengan pasangan mempunyai masa yang lebih fleksibel untuk balik kepada keluarga," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Khalifah Junior 2019 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam bahawa terdapat lebih 500,000 pasangan suami isteri di negara ini hidup terpisah, atau diistilahkan sebagai ‘keluarga komuter’ ekoran tuntutan pekerjaan.

Antara lain, laporan berdasarkan kajian Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) itu mendapati, golongan tersebut berisiko mengalami tekanan perasaan serta kemurungan, kerana perlu menggalas tugas menguruskan rumah tangga serta keluarga sendirian, manakala yang tinggal berjauhan dan sendirian pula berdepan kesunyian.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata kerajaan sememangnya mahu masalah itu ditangani tetapi bagaimana ia dilakukan terpulang kepada kebijaksanaan majikan.

Pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan sehingga ada isteri yang menjadi isteri tahunan atau 'annual wife' tidak mengundang suasana yang baik dalam perkahwinan, katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel