Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelan jangka panjang atasi isu pencemaran di Pasir Gudang - TPM


Tarikh kemaskini: 30/06/2019





BANGI, 30 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu pelan jangka panjang dirangka, bagi menjamin penyelesaian menyeluruh masalah pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor.

Katanya pelan penyelesaian jangka panjang itu penting, supaya insiden sama yang memberi kesan buruk kepada kesihatan penduduk setempat, tidak berulang di masa akan datang.

"Selepas insiden itu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengambil dan melaksanakan beberapa langkah jangka pendek, termasuk akan membina stesen pencerapan gas automatik di kawasan tersebut.

"Ini baik kerana dapat memberi amaran selepas bahan toksik yang dilepaskan ke udara melepasi tahap kritikal, yang membolehkan tindakan segera dapat diambil, termasuk memindahkan penduduk," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Khalifah Junior 2019, Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini hari ini.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu masih tidak mampu memberi penyelesaian menyeluruh dalam jangka panjang, kerana kedudukan kilang yang berpusat dan berada di dalam persekitaran kawasan kediaman.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan dan pihak yang berkenaan perlu memikirkan langkah menempatkan semula penduduk, dengan mengambil kira titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau juga mahu faktor penjanaan ekonomi daripada industri perkilangan, turut diberi perhatian dalam merangka pelan jangka panjang tersebut.

"Mengenai kilang, kita perlu fikirkan berkenaan ekonomi dan bagaimana ia dapat membantu dan diuruskan dengan sewajarnya," katanya.

Insiden pembuangan bahan kimia dan pencemaran udara yang melanda Pasir Gudang mengundang rasa kesal Sultan Ibrahim, yang kemudiannya menitahkan semua pihak berkuasa kerajaan mengambil langkah segera mengatasinya, termasuk menangkap dan menghukum pelakunya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel