Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan syarikat Itali - duta


Tarikh kemaskini: 01/07/2019





Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Malaysia kekal menjadi destinasi pelaburan ekonomi dan perdagangan di rantau ASEAN bagi syarikat-syarikat Itali kerana kedudukannya yang strategik dan iklim sosiopolitik yang stabil.

Duta Itali ke Malaysia, Cristiano Maggipinto, berkata ini terbukti dalam peningkatan jumlah syarikat Itali yang menjadikan Malaysia sebagai hab mereka sejak lima tahun lepas, dari hanya 50 kepada 108 syarikat sekarang.

"Semakin banyak syarikat Itali yang berminat untuk datang ke rantau ini secara amnya, kerana seperti yang kita tahu ekonomi ASEAN berkembang dengan pesat.

“Dan di ASEAN, kebanyakan syarikat Itali memilih untuk ke Malaysia kerana mereka menganggap Malaysia sebagai gerbang ke negara-negara ASEAN yang lain berdasarkan kedudukan geografinya,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama dalam satu temu bual di Wisma Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata infrastruktur dan kesalinghubungan yang baik, tenaga kerja berkemahiran tinggi, kos sara hidup rendah serta penggunaan meluas Bahasa Inggeris juga merupakan antara faktor yang menarik syarikat Itali untuk berkembang di Malaysia.

Syarikat-syarikat terkemuka Itali yang beroperasi di Malaysia termasuk peneraju global dalam pengeluaran semikonduktor iaitu STMielectronics – yang mana kilangnya di Johor adalah antara yang terbesar dan paling penting di dunia – dan Fassi, pengeluar kren pemuat di Puchong yang mengeksport produknya ke negara lain di rantau ini. 

Dalam industri aeroangkasa dan pertahanan, pemain global Leonardo sudah bertapak di Malaysia selama lebih 30 tahun, menyediakan produk serta sistem termasuk helikopter, radar dan sistem kawalan trafik udara.

Syarikat itu juga telah menubuhkan Akademi Latihan Helikopter Malaysia Leonardo di Subang, Selangor pada 2012, yang menyediakan keperluan latihan untuk pelanggan di seluruh rantau ini. 

Maggipinto berkata perdagangan dua hala antara Malaysia dan Itali berkembang pada kadar yang mengagumkan.

Data dari Institut Perangkaan Itali menunjukkan bahawa perdagangan dua hala Malaysia-Itali telah meningkat sebanyak 23 peratus dalam tempoh lima tahun lepas, yang berjumlah hampir €2.3 bilion (€1=RM4.72).

Eksport Itali ke Malaysia pada 2018 menyumbang hampir €1.2 bilion, dengan jentera dan peralatan industri membentuk satu pertiga daripada jualannya di Malaysia.

Sementara itu, eksport Malaysia ke Itali pada tahun sama berjumlah lebih €1.1 bilion, yang mana satu perempat eksportnya terdiri daripada produk pertanian, terutama minyak sawit.

Bagaimanapun, Maggipinto berkata masih terdapat banyak peluang belum diteroka yang perlu dimanfaatkan oleh kedua-dua negara, termasuk sektor minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa serta automotif.

“Hubungan dua hala antara Malaysia dan Itali adalah amat baik dari setiap sudut pandangan. Meskipun tiada lawatan oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di peringkat menteri, penglibatan telah berlaku yang menyaksikan sekurang-kurangnya dua mesyuarat antara menteri kedua-dua pihak diadakan dalam tempoh enam bulan lepas.

“Sebagai contoh, Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar kami Manlio Di Stefano telah melawat Malaysia pada Disember tahun lepas yang menyaksikan beliau bertemu rakan sejawatnya dan juga Timbalan Menteri Pertahanan,” katanya. 

Beliau juga berkata terdapat keperluan untuk kerjasama lebih erat serta peningkatan selanjutnya dalam bidang seperti pendidikan dan budaya.

Kini terdapat kira-kira 350 pelajar Itali yang melanjutkan pengajian di Malaysia.

Universiti Malaya adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi di Malaysia yang telah menubuhkan Jabatan Pengajian Itali yang mempunyai kira-kira 45 pelajar. 

“Pertukaran pelajar menerusi kaedah ini masih rendah dan itulah sebabnya penting untuk mewujudkan satu kerangka yang menyaksikan lebih banyak kerjasama antara Malaysia dan Itali boleh dilaksanakan,” katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel