Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki langgar dua polis trafik didakwa atas lima pertuduhan


Tarikh kemaskini: 01/07/2019





SHAH ALAM, 1 Julai (Bernama) -- Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan termasuk menyebabkan kecederaan dua anggota polis trafik dalam satu sekatan jalan raya minggu lepas. 

Zulhilmi Mohd Ariffin, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan masing-masing kepada Korperal Hasnol Abd Ghani dan Koperal Ahmad Haizaki Salimon dengan memandu kereta jenis Proton Gen 2 untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis di Jalan Persiaran Selangor, Seksyen 15 di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, Isnin lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan iaitu penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Zulhilmi didakwa dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam iaitu Inspektor Mohd Faizul Ahmad Suhaimi daripada menjalankan tugasnya melakukan pemeriksaan terhadap tertuduh dengan memandu kenderaan jenis sama untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya pada waktu, tarikh dan lokasi yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan seterusnya, Zulhilmi didakwa gagal mematuhi Peraturan 6 Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana tidak membawa kad pengenalan di Bulatan Andalas, Seksyen 17 di sini pada pukul 10.30 pagi, Isnin lepas.

Dia melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dihukum mengikut peraturan sama iaitu penjara sehingga tiga tahun atau denda sekurang-kurangnya RM3,000 atau maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia didakwa memasukkan dadah jenis Methamphetamine dan Tetra Hydrocannibol (THC) ke dalam badannya sendiri. Kesalahan itu dididakwa dilakukan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada pukul 5.15 petang, Isnin lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman menawarkan jaminan sebanyak RM29,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan. 

“Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan jumlah jaminan yang tinggi terhadap tertuduh untuk memastikan kehadirannya ke mahkamah memandangkan kes ini telah tular di media sosial kerana kecederaan teruk dialami anggota polis berkenaan.

“Pihak pendakwaan juga memohon supaya tertuduh melaporkan diri ke balai polis setiap dua minggu sekali kerana kes berkenaan merupakan kes berkepentingan awam,” katanya.

Peguam tertuduh, Muhammad Zufar Elias pula memohon supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan memandangkan Zulhilmi hanya meraih pendapatan sebanyak RM1,700 sebulan dan perlu menanggung ibu bapa serta adik-beradik.

Rini Triany kemudian membenarkan Zulhilmi diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta memerintahkannya melaporkan diri ke balai polis setiap dua minggu dan menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel