-peJNA2ZtNA Pelancongan kebudayaan jana RM551 juta setiap tahun
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelancongan kebudayaan jana RM551 juta setiap tahun


Tarikh kemaskini: 01/07/2019





KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Sektor pelancongan kebudayaan menjanakan hasil pendapatan negara berjumlah RM551 juta setiap tahun sejak tiga tahun lepas, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata pada tahun lepas, lebih 17 juta pengunjung menyertai program pelancongan kebudayaan itu dan jumlah pengunjung pada tahun ini dijangka terus meningkat.

“Amalan dan cara hidup, seni persembahan dan hasil kraftangan mempunyai tarikan tersendiri, yang boleh dipromosi serta mampu menjana pendapatan kepada negara dan peningkatan pengunjung yang dilihat saban tahun menjadi bukti pencapaian yang membanggakan.

“Selain itu, usaha yang dibuat Jabatan Muzium Malaysia dengan mengadakan kolaborasi penganjuran pameran dengan negara luar termasuklah kerjasama dengan Kazakhstan adalah usaha positif untuk muzium terus berkembang dan memantapkan lagi jaringan antarabangsa serta mampu meningkatkan jumlah pengunjung ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Antarabangsa Alharamain: ‘Perjalanan Ribuan Tahun’ dan Majlis Ramah Mesra bersama Penggiat Industri Pelancongan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamaddin berkata Muzium Negara telah dipilih menjadi tuan rumah kepada Persidangan Asian National Museums Association (ANMA) buat pertama kalinya mulai 29-31 Okt ini dalam usaha memartabatkan peranan dan fungsi muzium dalam kalangan masyarakat.

“Persidangan yang bakal disertai dari pelbagai negara Asia seperti Thailand, Singapura dan Kazakhstan itu akan membincangkan tema dan menonjolkan fungsi muzium-muzium nasional. Mereka akan bermesyuarat dan membuat resolusi mengenai perkembangan muzium. Saya yakin dengan perancangan rapi dan promosi yang berterusan ini dapat meningkatkan lagi ‘visibility’ muzium,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Kamarul Baharin A Kasim berkata persidangan ANMA yang dianjurkan buat kali ketujuh itu turut membincangkan perubahan baharu dan perkembangan muzium yang tertumpu kepada sistem pendidikan dan penyelidikan serta membina hubungan baik dalam kalangan negara Asia.

“Persidangan ANMA ini masih lagi baharu dan setakat ini 19 negara daripada 23 negara anggota bersetuju untuk menyertai persidangan ini, dan yang kita harapkan tiga negara paling besar dalam bidang permuziuman iaitu Jepun, China dan Korea akan turut menyertai ANMA ini,” jelasnya.

Pameran Antarabangsa Alharamain yang berlangsung sehingga 21 Julai ini adalah pameran yang menampilkan koleksi seni Islamik dari 1,400 tahun lepas di mana sebahagian koleksi yang dipamerkan terdiri daripada hasil kerja logam, seramik dan kayu serta manuskrip yang diperoleh dari abad ketujuh hingga abad kesembilan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel