Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

SPRM ambil keterangan saya enam kali - Bekas pengarah bukan eskekutif SRC


Tarikh kemaskini: 01/07/2019





KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menemui pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan sebanyak enam kali pada 2015 dan lima kali pada 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

 Suboh, 68, saksi pendakwaan ke-42 berkata pertama kali SPRM mengambil keterangannya ialah pada  27 Nov, 2015.

 Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili  bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, saksi itu mengesahkan bahawa lima keterangannya pada 2018 dibuat pada 28; 30; 31 Mei serta 13 dan 15 Ogos.

 "Satu keterangan pada 2015 diambil oleh pegawai SPRM Syed Mohd Tarmizi Syed Musa manakala pada 2018, saya dibantu oleh seorang lagi pegawai SPRM, Raub Ghani," katanya pada perbicaraan kes Najib yang masuk hari ke-30 hari  ini.

Najib, 66, dituduh atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.

Semasa prosiding, Muhammad Shafee meminta Suboh mengesahkan beberapa dokumen yang dibuat salinan fotokopi kepada transparensi serta tandatangan Suboh di setiap dokumen termasuk tandatangan beliau pada borang pengakuan SPRM selepas setiap sesi keterangan diambil.

Merujuk kepada dokumen tersebut, Muhammad Shafee bertanya kepada Suboh sama ada tandatangan di borang pengakuan SPRM adalah tandatangan biasa beliau, saksi menjawab: 'Ya'.

Terdahulu, Muhammad Shafee meminta Suboh menurunkan tandatangan sebanyak 30 kali di atas dua keping kertas untuk dibandingkan dengan contoh tandatangan yang telah beliau tandatangani di mahkamah dan di barang kes mahkamah seperti dokumen bank.

Suboh berkata tandatangan seseorang berbeza-beza, mengikut kedudukannya sama ada duduk, berdiri atau dalam keadaan tergesa-gesa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali disambung esok.

 -- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     

Yong bercuti, beri tumpuan kepada perbicaraan kes rogol

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel