Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lebih 1,300 bubu naga dirampas di Perak sejak Januari


Tarikh kemaskini: 03/07/2019




LUMUT, 3 Julai (Bernama) -- Jabatan Perikanan Perak merampas 1,332 bubu naga dan enam bot rawa sorong bernilai hampir RM300,000 di perairan negeri ini sejak Januari sehingga kini. 

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata kesemua barangan tersebut dirampas daripada nelayan yang masih menggunakan peralatan tersebut untuk menangkap ikan walaupun ia tidak dibenarkan. 

Katanya rawa sorong didapati banyak digunakan di perairan Pantai Pasir Hitam, Taiping manakala bubu naga pula di sekitar perairan Pantai Remis, Manjung. 

"Aktiviti rawa sorong diharamkan kerana ia memerangkap atau membunuh anak ikan dan benih udang serta merosakkan dasar laut selain boleh mengancam sumber perikanan negara pada masa akan datang. 

"Sama juga dengan bubu naga yang boleh memupuskan benih-benih ikan dan biarpun sudah diberikan amaran dan peringatan namun kegiatan ini masih berleluasa," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kampung Acheh, hari ini. 

Mansor berkata penggunaan bubu naga lebih mudah dan hasil tangkapan lebih lumayan berbanding cara lain sehingga menyebabkan nelayan memilih kaedah itu walaupun ia menyalahi undang-undang. 

"CPS Kampung Acheh akan terus meningkatkan pemantauan dan operasi bagi mengekang semua aktiviti penangkapan ikan yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985," katanya. 

Katanya peralatan yang dirampas akan disita dan nelayan boleh dikenakan tindakan  mengikut Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 untuk bubu naga dan untuk rawa sorong mengikut Peraturan Dua Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.

Dalam perkembangan lain, Mansor berkata pihaknya berjaya menahan sebuah bot pukat tunda nelayan tempatan yang berpangkalan di Selangor kerana melanggar zon tangkapan ikan di kedudukan 3.9 batu nautika dari Tanjung Hantu, Segari di sini, awal pagi tadi. 

Katanya dalam kejadian pada 5 pagi itu, cubaan melarikan diri selepas menggunakan ‘tonto’ bagi memerhati pergerakan anggota penguat kuasa bagaimanapun gagal sehingga membawa kepada penangkapan seorang tekong dan tiga awak-awak warga tempatan berusia antara 27 hingga 60 tahun. 

Beliau berkata pihaknya merampas dua papan tunda, dua gulung tali tunda, dua pukat tunda, radio Sistem Pengesanan Global (GPS) dan 100 kilogram pelbagai jenis ikan selain menyita bot berkenaan dengan niai anggaran rampasan keseluruhan sebanyak RM500,000. 

"Kita menjalankan pemantauan sejak seminggu lalu dan dipercayai ada tonto yang memerhati serta berlaku pembocoran maklumat dan menyukarkan pergerakan operasi," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel