Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

P.Pinang alu-alukan pengumuman MAHB berhubung projek peluasan lapangan terbang


Tarikh kemaskini: 03/07/2019





GEORGE TOWN, 3 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang menyambut baik pengumuman oleh syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), yang mereka sudah bersedia untuk meneruskan rancangan mereka meluaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas, dekat sini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau percaya pengumuman itu sekaligus menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkannya sebelum ini, termasuk isu berkaitan ekuiti dan pengurusan lapangan terbang sekiranya kerajaan berhasrat melaksanakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) bagi membiayai projek di lapangan terbang itu.

"Dengan pengumuman mereka ini, kita amat mengalu-alukannya, kini terserah kepada pihak Kementerian dan juga MAHB untuk menyelesaikan apa jua isu berkaitan pembiayaan serta peraturan konsesi yang sedang dikaji mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Forum Seni Untuk Keamanan di sini.

“Bagi Pulau Pinang kita mengambil berat mengenai pelaksanaan dan penyiapan projek di lapangan terbang itu, manakala lain-lain isu saya rasa lebih baik kita serahkan kepada agensi yang berkenaan untuk diselesaikan,” tambahnya.

MAHB dalam kenyataan semalam berkata ia sedang berbincang dengan pelbagai pihak berhubung pilihan untuk model pelaburan dan pembiayaan projek berkenaan.

Syarikat pengendali lapangan terbang itu berkata ia telah menghantar permohonan untuk membiayai sepenuhnya projek itu di bawah kerangka kerja MAVCOM Regulated Asset Base (RAB) yang telah diusulkan, dan kini sedang menunggu kelulusan.

Menurutnya sebaik sahaja pelan berkaitan diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kerja-kerja pembinaan akan dimulakan dalam suku pertama tahun depan.

Chow juga berkata beliau berharap Kerajaan Persekutuan dan MAHB akan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung perkembangan kerja-kerja peluasan lapangan terbang itu.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis hari ini Chow berkata forum itu menyediakan platform yang akan membincangkan bagaimana seni dapat memupuk keamanan dan kedamaian di kalangan masyarakat Pulau Pinang.

Menurutnya ini akan membolehkan orang ramai dari pelbagai latar belakang yang berbeza kaum mahupun agama, dapat memahami antara satu sama lain, sekaligus menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat yang aman dalam lebih baik untuk didiami.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel