Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua lelaki didakwa simpan, jual arak haram


Tarikh kemaskini: 03/07/2019





GEORGE TOWN, 3 Julai (Bernama) -- Dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret  di sini  hari ini atas tiga pertuduhan menyimpan dan memiliki barang larangan iaitu pelbagai jenis arak serta mengilang dan memperdagangkan arak tersebut.

Warga Myammar itu iaitu Hla Win, 50 dan seorang lelaki tempatan G.Gunaselan, 41, membuat pengakuan itu  semasa pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret  L. Umma Devi.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama melindungi, menyimpan dan menyembunyikan barang-barang yang tidak berkastam serta barangan yang dilarang iaitu 1,894 botol dan 3,480 tin pelbagai jenis minuman keras pelbagai jenama antaranya Whisley Extra Special, High Class Whisky,   Miludeer Extra Stug Beer dan Brandy Cap Kapak yang keseluruhannya bernilai RM42,882,94.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman bernombor 21, Jalan Kajang di sini pada 6.18 petang, 24 Jun lepas mengikut Seksyen 133(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1) (iii) (aa) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Hla Win dan Gunaselan didakwa mengilang samsu gelap (haram) pada masa, tarikh  dan tempat sama dan untuk itu mereka dituduh di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dua kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan ketiga, mereka didakwa memperdagangkan samsu gelap juga pada masa, tarikh dan tempat sama dan dituduh di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dua kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Siti Hajar Jaafar menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan pertama dan jaminan RM15,000 masing -masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Bagaimanapun peguam Andy Ooi yang mewakili Hla Win memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya mempunyai pasport dan pas pekerja yang sah serta mempunyai dua orang anak berusia enam dan empat tahun yang menetap di sini yang kini dijaga oleh jirannya.

Peguam M. Priya yang mewakili Gunaselan turut memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh hanya bekerja sebagai juruteknik yang berpendapatan RM2,000 sebulan selain perlu menyara tiga anak  dan ibu yang menghidap diabetes.

Mahkamah kemudian membenarkan Hla Win dikat jamin sebanyak RM23,000 dengan dua penjamin warga Malaysia bagi ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya serta turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan diarahkan melapor diri ke balai polis berdekatan setiap hari Isnin.

Mahkamah turut membenarkan Gunaselan diikat jamin RM19,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan kes mereka  bagi penyerahan dokumen.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel