Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MUIP buru mereka yang liat membayar zakat


Tarikh kemaskini: 03/07/2019




KUANTAN, 3 Julai (Bernama) -- Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah mula memburu pelbagai pihak di negeri ini  yang sudah mencukupi syarat untuk membayar zakat namun liat menunaikan kewajipan itu.

Timbalan Yang Dipertuanya Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata tindakan penguatkuasaan  sudah bermula sejak  April lalu, dengan menghantar surat peringatan kepada mereka yang terlibat dan tindakan  tegas  akan diambil terhadap mereka yang masih berdegil.

"Kita telah menghantar surat peringatan pertama secara berdaftar kepada 218 orang dalam kalangan pegawai atau eksekutif yang tidak mengemukakan maklumat pendapatan masing-masing bagi tahun 2018.

"Jika tiada maklum balas diterima selepas peringatan kedua dihantar pada 18 Jun lalu, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) akan menyerahkan nama mereka kepada MUIP untuk dihantar kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Wan Abdul Wahid berkata mereka yang melakukan kesalahan itu boleh  dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 iaitu Seksyen 24 (Enggan memberi taksiran pendapatan) dan Seksyen 40 (Tidak membayar zakat atau fitrah). 

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Wan Abdul Wahid berkata MUIP akan menumpukan pelaksanaan program Wajib Taksir Zakat (WTZ) menerusi majikan dengan PKZ meletakkan tiga kumpulan sasar iaitu kakitangan awam, badan berkanun dan swasta.

"Setakat ini, seramai 1,033 majikan memberikan maklum balas dengan menghantar maklumat kakitangan berjumlah 37,075 orang dan 15,362 orang daripadanya didapati belum mempunyai rekod di PKZ.

"Kita telah menghantar borang taksiran zakat ZP 2019  kepada mereka  pada hujung Mei lalu untuk diisi dan dipulangkan sebelum 31 Julai ini," katanya.

Wan Abdul Wahid berkata kutipan zakat sehingga 30 Jun ini adalah sebanyak RM66.8 juta iaitu meningkat 8.8 peratus  berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak RM61.4 juta

Katanya, bagi tahun lalu, kutipan zakat harta menunjukkan peningkatan 3.9 peratus iaitu RM131.4 berbanding RM126.6 juta pada tahun 2017 dan kutipan zakat melalui potongan gaji juga meningkat 11.9 peratus kepada RM52.95 juta berbanding RM47.3 juta pada tahun 2017.

— BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel