Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MBSA lancar kempen GIFT dorong warga taska terap inisiatif hijau


Tarikh kemaskini: 04/07/2019





SHAH ALAM, 4 Julai (Bernama) -- Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini melancarkan kempen “Green Initiative For Taska” (GIFT) sebagai dorongan kepada warga institusi pendidikan awal kanak-kanak itu menerapkan inisiatif hijau dalam kehidupan seharian.

Kempen yang menggalakkan usaha penanaman pokok di taska selain penerapan silibus mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam pembelajaran awal kanak-kanak dilancarkan oleh Datuk Bandar Shah Alam Datuk Haris Kasim, melibatkan 198 taska di bawah pentadbiran MBSA.  

Menurut Haris, amalan inisiatif hijau seperti penanaman sekurang-kurangnya sebatang pokok di taska masing-masing selain pendedahan mengenai kepentingan mengekalkan kehijauan bumi menerusi silibus STEM dilihat mampu mendidik kanak-kanak supaya sentiasa mempraktikkan gaya hidup tersebut.

“Generasi muda terutama kanak-kanak pra sekolah memang mudah menyerap, mempelajari serta mempraktikkan amalan baik dalam kehidupan harian mereka.

“Tujuan program ini adalah supaya setiap taska dapat menanam pokok atau mewujudkan taman herba serta kebun komuniti di kawasan masing-masing," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kempen GIFT di Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran kempen berkenaan adalah Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor, Mahanom Basri.

Dalam pada itu, Haris memaklumkan bahawa MBSA juga menyediakan perkhidmatan kaunter pusat sehenti sejak 2015 bagi membantu pemilik taska menyemak dan mengambil maklum mengenai status terkini institusi masing-masing.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah semakan status taska, memahami prosedur bagi permohonan lesen pengoperasian taska selain khidmat nasihat daripada jabatan-jabatan teknikal seperti perancangan, pelesenan dan bangunan untuk pengusaha taska," katanya.

Beliau berharap semua pemilik taska di bawah pentadbiran MBSA menyertai program itu demi mencapai matlamat menjadikan Shah Alam sebuah bandar raya rendah karbon menjelang tahun 2030.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel