Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Angkasa sasar jualan koperasi sekolah RM1 bilion pada 2025


Tarikh kemaskini: 05/07/2019





KOTA BHARU, 5 Julai (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan jualan sebanyak RM1 bilion oleh lebih 2,400 koperasi sekolah di negara ini menjelang 2025.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata nilai jualan daripada keseluruhan koperasi sekolah seluruh negara kini sebanyak RM400 juta.

Beliau berkata sasaran itu dijangka dapat dicapai menerusi pelbagai perancangan, termasuk menggalakkan pihak sekolah melalui koperasi memperhebat aktiviti menjana pendapatan.

"Rancangan yang boleh dilaksanakan termasuk mengambil alih pengurusan kantin, mewujudkan taska dan menggalakkan tuisyen di sekolah. Kita akan sediakan platform dan membuat aturan perancangan yang rapi agar ia dapat dijayakan dan seterusnya menjana pendapatan kepada koperasi sekolah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya bagi sekolah yang mempunyai kawasan (tanah) yang luas, mereka boleh terlibat dalam bidang penanaman jangka pendek atau panjang.

Abdul Fattah berkata berdasarkan statistik, 99 peratus daripada lebih 2,400 koperasi sekolah dikategorikan sebagai aktif.

Sebahagian besar koperasi sekolah terlibat dalam aktiviti kedai koperasi yang menjual keperluan alat tulis serta pakaian manakala 500 koperasi sekolah terlibat dalam sektor peruncitan dan makanan ringan.

"Terbaru kita melancarkan penanaman 600 pokok kelapa di tanah seluas enam hektar di Kolej Vokasional Pasir Mas melalui koperasi.

"Diharapkan dalam tempoh tiga tahun, hasilnya akan diperoleh melalui penjualan secara borong atau pun runcit. Pasaran kelapa menggalakkan sama ada dijual sebagai kelapa muda atau diproses untuk santannya," katanya.

Beliau berkata tahun depan, Angkasa menjangkakan 50 lagi koperasi sekolah bakal mencatat jualan sebanyak RM1 juta berbanding tujuh koperasi setakat  ini.

"Kita juga mahu supaya agensi yang berkaitan turut memberikan bantuan dari sudut teknikal selain khidmat nasihat agar projek dijalankan mampu menjana pendapatan besar kepada koperasi," katanya.

Dalam perkembangan sama, pihak Angkasa juga akan mengesyorkan agar syer pelajar dinaikkan daripada RM10 kepada RM100 manakala syer guru daripada RM100 kepada RM500 supaya ahli koperasi boleh memperoleh bayaran dividen yang besar.

Mengulas mengenai rancangan pengambilalihan kantin sekolah untuk diuruskan oleh koperasi pada masa akan datang, Abdul Fattah berkata selain menjana pendapatan kepada koperasi ia boleh memberi peluang kepada pelajar miskin untuk bekerja pada waktu rehat.

Katanya ini boleh melatih pelajar terlibat dalam bidang perniagaan selain memberi peluang kepada guru dan ibu bapa membekalkan barang kepada kantin sekiranya memenuhi syarat.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel