Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jabatan Kesihatan Kedah terima 11 anugerah daripada Safety First


Tarikh kemaskini: 05/07/2019





ALOR SETAR, 5 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menerima 11 anugerah keselamatan daripada kumpulan pro-keselamatan seharian, Safety First, bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang warga jabatan itu dalam aspek perkhidmatan kesihatan.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata pengiktirafan seumpama itu yang julung kali diterima pihaknya, merupakan satu penghargaan yang sangat besar atas segala usaha dan pengorbanan semua kakitangannya dalam usaha memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

“Pengiktirafan ini sangat bersejarah dan saya berharap ia akan menjadi suntikan semangat dan motivasi buat semua 16,500 warga Jabatan Kesihatan negeri untuk mencapai prestasi yang lebih baik dan cemerlang pada masa depan.

“Organisasi kami sangat besar meliputi sembilan hospital termasuk hospital pakar, daerah serta klinik-klinik kesihatan. Tanpa sokongan padu daripada seluruh warga jabatan ini, kejayaan ini mungkin tidak akan dapat dicapai,” katanya di sini.

Kumpulan Safety First yang bergerak menyebarkan maklumat mengenai keselamatan jalan raya melalui penggunaan aplikasi WhatsApp kini mempunyai capaian kepada lebih 5,200 individu termasuk di luar negara dan menjangkakan jumlah itu akan meningkat dalam tempoh singkat.

Semalam, bagi menghargai prestasi cemerlang warga JKN, sebanyak 11 sijil penghargaan dianugerahkan kepada pakar perseorangan serta jabatan dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.

Dr Norhizan sendiri menerima salah satu anugerah sebagai menghargai usahanya dalam ‘Steering the healthcare services with dedication, passion and humility’. 

Turut menerima anugerah ialah Pengarah HSB, Dr Zaiton Udin; Timbalan Pengarah HSB, Dr Farique Rizal Abdul Hamid; Ketua Pakar Perunding Pediatrik dan Perubatan Remaja, Dr Thiyagar Nadarajaw; Pakar Gastroenterologi HSAH, Dr Ooi Boon Han dan Pakar Perunding Oftalmologi, Datuk Dr Haslina Mohd Ali.

Jabatan yang menerima anugerah ialah Jabatan Obstetrics and Gynaecology yang diwakili Datuk Dr Rushdan Md Noor; Dr Haslina mewakili Jabatan Oftalmologi; Dr Azillah Mohd Ali mewakili Jabatan Pergigian Pediatrik; Dr Siti Nadiah Abdul Kadir mewakili Jabatan Perubatan Transfusi dan Matron Chua Phaik Suat mewakili Jabatan Pediatrik.

Sementara itu Penasihat Safety First Datuk Seri Azman Ujang berkata sektor perkhidmatan kesihatan mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan keselamatan.

Azman berkata anugerah yang disampaikan kepada JKN Kedah merupakan satu pengiktirafan bagi menghargai khidmat terbaik jabatan berkenaan setelah mendapat sokongan daripada pihak atasan di Kementerian Kesihatan.

Katanya selain pakar dan jabatan di bawah JKN Kedah, Safety First sebelum ini turut menyampaikan anugerah penghargaan yang sama kepada pakar-pakar di Hospital Serdang.

Beliau berkata pihaknya merancang untuk menyampaikan lebih banyak anugerah seumpama itu tidak tanpa mengira apa juga jabatan atau jawatan penerima asalkan ia berkaitan dengan keselamatan.

“Bidang keselamatan adalah sangat luas, penulis atau wartawan misalnya, mereka juga perlu menjaga ‘keselamatan’ dengan cara memastikan penulisan mereka adalah betul,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel